Bekas Pengerusi, Setiausaha DAP Sabah keluar parti

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang terus dipanaskan dengan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Papat daripada DAP, Datuk Frankie Poon yang mengumumkan keluar parti hari ini.

Poon, yang juga bekas Pengerusi DAP Sabah, bersama bekas Setiausaha DAP negeri, Liau Fui Fui, yang turut keluar parti, mendakwa kepimpinan semasa DAP Sabah secara sistematik telah meminggirkan pemimpin senior parti serta menggantikan kepimpinannya di bahagian Tanjung Papat tanpa rundingan.

Poon berkata, dua cawangan DAP di bawah beliau dan Liau turut dibubarkan susulan peletakan jawatan mereka.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya setelah menilai pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini.

Beliau juga menyatakan bahawa hala tuju DAP Sabah kini hanya menumpukan kepada memperkasakan generasi muda untuk memimpin parti, sambil mengenepikan peranan pemimpin veteran dan senior yang telah lama berkorban serta menyumbang kepada parti.

“Ini menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap pemimpin veteran dan senior yang telah sekian lama berkorban dan menyumbang kepada parti,” kata mereka pada kenyataan hari ini.

Beliau menambah, selama bertahun-tahun mereka telah berkhidmat untuk rakyat dan parti dengan penuh dedikasi.

Namun, apabila prinsip kejujuran, saling menghormati, dan perjuangan bersama tidak lagi dihargai, langkah terbaik adalah berundur.

“Dengan pengumuman ini, kami serta penyokong dan cawangan di bawah kami akan bergerak secara bebas daripada struktur DAP, sambil meneruskan khidmat politik dan perjuangan di peringkat akar umbi seperti biasa,” katanya lagi.

Poon, yang merupakan bekas menteri dalam kerajaan negeri Warisan-Pakatan Harapan, tidak menyatakan sama ada akan menyertai parti lain atau bertanding sebagai calon bebas dalam PRN akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *