Bekas setiausaha PKR Sabah sertai Warisan

KOTA KINABALU: Politik negeri ini menjelang PRN17 terus bertambah panas apabila bekas setiausaha PKR Sabah Sazalye Donol Abdullah meninggalkan partinya dan menyertai Warisan.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam sidang media di ibu pejabat Warisan semalam.

Dalam kenyataannya, Sazalye berkata keputusan itu dibuat kerana pendirian parti tersebut konsisten terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40% hasil bersih Sabah.

“Warisan adalah satu-satunya parti yang sehaluan dengan pandangan saya dan rakan-rakan saya,” katanya sebagaimana dipetik FMT.

“Saya lihat Warisan bukan sahaja bercakap, tetapi juga bertindak, terutamanya dalam melaksanakan MA63,” katanya.

Sazalye menambah bahawa keputusannya meninggalkan PKR bukan disebabkan permusuhan peribadi, tetapi kerana keinginannya untuk menyertai platform yang lebih bersih, telus dan konsisten.

“Bukan bermaksud parti lama saya tidak baik, tetapi saya mahukan ruang yang lebih bersih. Saya lihat Warisan benar-benar menjaga perpaduan rakyat Sabah,” katanya.

Menurut FMT tidak dapat dipastikan bila Sazalye secara rasmi keluar daripada PKR. Beliau hilang jawatan sebagai ketua bahagian Kota Marudu dalam pertandingan empat penjuru semasa pemilihan parti pada April lalu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *