KOTA KINABALU: Kestabilan negara bukan terletak pada penyatuan pandangan atau sokongan terhadap satu parti politik sahaja, sebaliknya ia tercapai apabila rakyat bijak mengurus perbezaan dengan tenang dan saling menghormati, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (SSK).
Menurut ADUN Usukan itu kestabilan negara tidak bermaksud ketiadaan konflik, tetapi ia merujuk kepada wujudnya sistem yang adil dalam menyelesaikan perbezaan secara aman.
Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan tidak memerlukan semua individu berfikir serupa, sebaliknya ia tercapai apabila rakyat berkongsi matlamat yang sama, seperti keadilan, keamanan, dan kemajuan.
“Perpaduan sebenar adalah apabila kita menghormati pandangan yang berbeza dan berusaha mencari titik persamaan demi kebaikan bersama,” kata Dr Salleh dalam hantarannya di Facebook hari ini.
Beliau turut mencontohkan kejayaan beberapa negara yang mampu mencapai kemajuan meskipun rakyatnya berbeza dari segi agama, kaum atau pandangan politik.
Kejayaan ini, jelasnya, terletak pada kerjasama rakyat yang lebih menumpukan kepada perkara yang menyatukan daripada yang memecahbelahkan.
Namun, Salleh mengingatkan bahawa negara yang mengekang kebebasan mungkin kelihatan stabil, tetapi kestabilan tersebut adalah rapuh dan mudah tercabar apabila suara rakyat disekat.
Sebaliknya, negara yang membenarkan perbezaan dan mempunyai institusi yang kukuh akan lebih tahan lama kerana kestabilannya dibina atas dasar kepercayaan, bukan ketakutan.
“Asas kestabilan ialah kebebasan bersuara, undang-undang yang adil, dan sikap bertanggungjawab semua pihak,” jelasnya lagi.
Beliau menekankan bahawa meskipun rakyat Malaysia datang daripada latar belakang yang berbeza, apabila bersatu dan saling menyokong, negara akan menjadi lebih kuat dan sukar digoyahkan.
“Ia seperti kata peribahasa,’buluh seikat lebih kuat daripada sebatang’,” katanya.
