Belia Kg Benoni sertai UMNO/BN, bukti parti terus kukuh di Papar

PAPAR: Gelombang sokongan belia terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) di kawasan Papar semakin terserlah apabila sekumpulan anak-anak muda di sini secara rasmi menyertai parti tersebut melalui Program Penyerahan Borang Kemasukan Ahli UMNO/BN yang diadakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kg. Benoni, Papar.

Program berkenaan yang disempurnakan oleh Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, turut mendapat sambutan meriah oleh penduduk setempat serta barisan kepimpinan parti di peringkat akar umbi.

Dalam hal ini, Jamal menzahirkan rasa syukur dengan penyertaan seramai 50 orang belia di sini, sambil menyifatkannya sebagai tanda jelas bahawa UMNO/BN masih menjadi pilihan rakyat dan semakin diterima golongan muda sebagai wadah perjuangan politik.

“Kita sangat berbangga dengan semangat anak-anak muda Kg. Benoni yang memilih untuk bersama UMNO/BN. Kehadiran mereka membuktikan bahawa perjuangan UMNO sentiasa segar, relevan dan terus diyakini dalam membela agama, bangsa dan tanah air.

“Generasi muda adalah pewaris masa depan. Kehadiran 50 orang belia ini bukan sekadar penambahan jumlah ahli, tetapi satu simbol keyakinan bahawa UMNO akan terus kukuh di Papar,” ujar beliau kepada UMNO Online.

Beliau menegaskan bahawa UMNO Bahagian Papar sentiasa komited membuka ruang kepada belia untuk bersama menyumbangkan idea, kepakaran dan tenaga, sekali gus memastikan suara anak muda terus menjadi sebahagian daripada hala tuju parti.

“Sejak menerajui UMNO Papar, saya berpegang pada prinsip untuk membuka seluas-luasnya pintu kepada sesiapa sahaja yang mahu bersama UMNO, khususnya anak muda. Mereka inilah pewaris kepimpinan masa depan yang akan meneruskan perjuangan parti. Saya sentiasa mengalu-alukan kehadiran mereka untuk berganding bahu bersama saya dalam memperkukuh UMNO di Papar.

“Penyertaan aktif belia dalam parti akan melahirkan pemimpin pelapis yang berwibawa, bersemangat serta mampu menggalas perjuangan di samping meneruskan amanah rakyat pada masa hadapan.”

Program yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah itu turut memberi peluang kepada Jamal menyantuni para belia dan penduduk Kg. Benoni, di samping mendengar aspirasi serta harapan mereka terhadap UMNO/BN secara dekat.

“Ini menjadi bukti bahawa UMNO/BN terus mendapat tempat dalam hati rakyat, khususnya generasi muda, sekaligus menjadi suntikan semangat baharu dalam memperkasa perjuangan parti di Sabah khususnya dalam mendepani pilihan raya yang akan diadakan pada masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa UMNO Papar akan terus kukuh dan bersatu padu, seiring dengan matlamat besar parti untuk memastikan kepentingan rakyat dan negara terus terjamin. –UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *