TONGOD: Generasi muda digesa memanfaatkan perkembangan teknologi digital sebagai medium memperkasakan sumber ekonomi dan meningkatkan ilmu pengetahuan, bukannya terjebak dengan gejala negatif seperti menyebarkan fitnah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata ketagihan media sosial dalam kalangan belia seharusnya menjadi nilai tambah kepada kehidupan mereka.
“Ramai belia pada masa kini mampu menjana pendapatan lumayan melalui rakaman dan siaran langsung peristiwa tertentu di pelbagai platform digital.
“Tapi malangnya, ada segelintir pihak menyalahgunakan media digital untuk tujuan negatif, termasuk menyebarkan fitnah demi kepentingan politik,” katanya ketika merasmikan Penutupan Kejohanan Sepak Takraw Piala ADUN Kuamut anjuran Belia Wawasan Tongod di Kampung Lingkabung, semalam.
Masiung berkata, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN17), hampir setiap hari muncul ‘cybertrooper’ berbayar daripada kumpulan atau pertubuhan politik tertentu di Sabah yang menyerang kerajaan melalui media sosial.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan muda supaya tidak mudah diperalatkan oleh mana-mana pemimpin berhaluan kiri yang mempunyai agenda politik sempit. – SNT
