Beri laluan kepada pemimpin muda – Khairul Firdaus

KOTA KINABALU: Ahli-ahli politik yang telah lama berkhidmat diminta berundur dan memberi laluan kepada pemimpin baharu yang membawa idea segar serta komitmen ikhlas terhadap perubahan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata bahawa Sabah memerlukan satu perubahan kepimpinan yang bukan sekadar berdasarkan usia tetapi berpaksikan cara berfikir dan keikhlasan.

Bercakap di Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di N26 Moyog,

“Ia bukan hanya soal belia. Apa yang kita perlukan ialah pemimpin yang mempunyai visi yang jelas dan keinginan yang tulen untuk membawa perubahan kepada Sabah,” katanya pada Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di N26 Moyog semalam.

Beliau yang merupakan ahli langsung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa terdapat tokoh politik tertentu di negeri ini yang terlalu lama bergayut pada kuasa, tanpa menghiraukan rasa tidak puas hati rakyat.

“Terdapat pemimpin yang telah berada di jawatan bertahun-tahun tetapi sudah tidak lagi berhubung dengan rakyat. Mereka sepatutnya berhenti menghina rakyat dengan terus memegang kuasa. Sudah tiba masanya mereka berundur dan beri peluang kepada yang lain,” katanya.

Tambahnya, Sabah tidak seharusnya lagi dilihat sebagai negeri yang ketinggalan, sebaliknya sebagai negeri yang mampu memimpin dalam inovasi dan pembangunan – sesuatu yang hanya boleh dicapai dengan memperkasakan pemimpin baharu.

Khairul Firdaus memuji tokoh politik veteran, Datuk John Ambrose, sebagai contoh teladan, dengan mengatakan bahawa kesediaannya untuk menyokong pemimpin baharu mencerminkan kepimpinan sebenar.

Beliau turut memberi amaran bahawa pengundi di Sabah kini semakin terbuka terhadap alternatif politik dan tidak teragak-agak untuk menolak parti yang gagal menunaikan janji.

Khairul Firdaus juga menegaskan bahawa ketidakstabilan politik di Sabah, yang telah berlarutan selama bertahun-tahun akibat konflik dalaman, mesti dihentikan.

Katanya, kematangan dan perpaduan politik amat penting bagi membolehkan Sabah maju dan menerima pengiktirafan serta pembangunan yang sewajarnya.

Dalam menyoroti peranan GRS, beliau menyifatkan gabungan itu sebagai platform terbaik untuk perubahan sebenar dan menggesa rakyat memberi mandat penuh kepada mereka pada pilihan raya akan datang.

“Beri kami satu penggal lagi. Jika kami gagal, undilah kami keluar,” katanya sambil menyatakan bahawa Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor telah menunjukkan kepimpinan dengan memperkenalkan inisiatif baharu dan bersikap terbuka terhadap maklum balas.

Walaupun mengakui bahawa persepsi terhadap GRS berbeza mengikut kawasan di Sabah, terutamanya dalam kalangan pengundi muda, beliau berkata gabungan itu tetap komited untuk mendengar dan menangani isu-isu akar umbi.

“Kita tidak boleh dilihat gagal memahami apa yang rakyat Sabah mahukan. GRS dan Gagasan Rakyat mesti sentiasa peka terhadap suara rakyat,” katanya.

Khairul Firdaus menyatakan bahawa pandangan yang dikemukakan adalah pandangan peribadi, tetapi beliau menzahirkan harapan agar wujud satu barisan kepimpinan yang lebih bersatu dan berpandangan jauh untuk membawa Sabah keluar daripada kebuntuan politik yang berpanjangan.

 

Kredit foto: FB Gagasan Rakyat Sekong

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *