KALABAKAN: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menggesa rakyat Sabah agar memberi peluang kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk terus mentadbir negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Beliau berkata, mandat baharu amat penting bagi memastikan agenda pembangunan yang telah dirintis sejak lima tahun lalu dapat diteruskan dengan lebih lancar serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat.
“Berilah peluang kepada GRS untuk memerintah dalam tempoh lima tahun lagi. Masih banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Dengan kemenangan kelak, ia akan memudahkan Kerajaan menyalurkan pembangunan secara berterusan di kawasan ini dan di seluruh Sabah,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bahagian PBS Sebatik di Dewan Serbaguna Kalabakan, semalam.
Dalam ucapannya di hadapan lebih 300 ahli dan pemerhati, beliau menegaskan bahawa PBS, sebagai komponen penting dalam GRS, kekal menerima sokongan rakyat di seluruh negeri termasuk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik.
Menurut beliau, kestabilan politik adalah kunci utama bagi Sabah untuk terus menikmati pembangunan yang seimbang dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.
“Kita akan meneruskan perjuangan ini sehingga mencapai keselesaan iaitu menuntut hak-hak rakyat Sabah, serta memastikan pembangunan yang sama rata, setimpal dan seimbang,” tegasnya.
Dr. Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, mengingatkan semua ahli PBS Sebatik agar sentiasa bersatu hati dan memberi sokongan penuh kepada calon yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Kita hadapi PRN dengan hati yang tenang. Jangan gusar. Kita bersama komponen GRS yang lain akan bersatu hati membentuk kerajaan semula. Yang penting, PBS berada dalam GRS dan perlu menang supaya apa yang kita kecapi dalam lima tahun ini dapat diteruskan,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Bahagian PBS Sebatik, Sahrol Haji Mahoolop dan semua ahli kerana berjaya menganjurkan mesyuarat berkenaan yang akan membawa usul ke Persidangan Agung Tahunan Parti pada Oktober atau November selepas PRN.
Sementara itu, Sahrol turut memberikan penghargaan kepada Dr. Joachim kerana hadir dalam mesyuarat itu sekaligus dapat memberi keyakinan serta sokongan kepada semua ahli PBS Sebatik dan berjanji, siapa pun yang akan dicalonkan mewakili GRS di DUN Sebatik, dia bersama ahli PBS Sebatik akan memastikan kemenangan yang besar di pilihanraya tidak lama lagi ini.
Hadir sama ialah Naib Presiden PBS merangkap Ketua Bahagian Silam, Haji Mursid Rais; Ketua Pergerakan Pemuda PBS yang juga Pengerusi Perkasa Realty Sdn Bhd, Datuk Dr. Christoper Mandut; Ketua Bahagian PBS Bugaya yang juga Ahli Majlis Tertinggi, Hajah Fazidah@ Jahara Mohd. Yassin; serta beberapa ketua bahagian lain.
Turut diadakan ialah penyerahan sumbangan barangan makanan kepada 60 Ketua isi rumah oleh Dr. Joachim serta mengadakan tinjauan lot kedai yang diselanggarakan oleh Perkasa Realty Sdn Bhd dengan diiringi Dr. Christoper. – Jesselton Times
