Bertanding secara solo bukan pilihan BN Sabah

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menerima hakikat bahawa tidak ada mana-mana parti boleh memenangi cukup kerusi untuk membentuk kerajaan sekiranya bertanding secara bersendirian dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Untuk itu, kata pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, BN Sabah akan mengumumkan pakatan pilihan rayanya dalam masa terdekat.

“Umno-BN akan bertanding berdasarkan keupayaan dan keyakinan kami. Apabila tiba masanya, kami akan membuat keputusan mengenai rakan-rakan kongsi kami.

“Bertanding secara bersendirian akan menghadkan potensi kami. Parti yang bertindak sendirian tidak berpeluang untuk memenangi pilihan raya, tetapi ini bukan sesuatu yang unik di Malaysia. Ia adalah fenomena global.

“Setelah pilihan raya tamat, parti-parti perlu bekerjasama untuk membentuk kerajaan,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh FMT.

Bung Moktar, yang juga Ketua Umno Sabah dilaporkan berkata demikian dalam satu temu bual dengan portal berita tersebut.

Sebelum ini Umno Sabah pernah disebut-sebut akan bekerjasama dengan parti Warisan bagi menghadapi PRN. Malah Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sendiri, semasa perhimpunan agung tahunan parti itu yang turut dihadiri Bung Moktar, mengumumkan partinya akan bekerjasama dengan Umno Sabah.

Bagaimanapun, BN kemudiannya berkata kepimpinan pusat mereka akan membuat keputusan mengenai pakatan pilihan raya peringkat negeri.

Warisan seterusnya mengumumkan bahawa ia akan bertanding pilihan raya negeri secara sendirian.

Kini, kedua-dua BN Sabah dan gabungan yang memerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sedang mendekati Pakatan Harapan (PH) dalam usaha untuk membentuk pakatan pilihan raya.

Bung berkata BN terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti, kecuali mereka yang pernah “mengkhianati” mereka pada masa lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *