BN ikhlas terhadap kerjasama, tidak bermain dua muka – Salleh

KOTA KINABALU: Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) wajar dihormati dan memperlihatkan penolakan gabungan itu terhadap pendekatan solo dan bukti komitmen terhadap kerjasama dengan parti-parti nasional.

Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak berkata, keputusan GRS itu menunjukkan mereka menolak formula politik Sarawak yang menjauhkan diri daripada parti-parti nasional, sebaliknya memilih jalan kerjasama untuk kestabilan.

“Sudah tentu mereka ada asas tersendiri dan rakyat akan menilai,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.

BN, katanya, konsisten sejak awal bahawa gabungan dengan PH adalah pendekatan terbaik untuk menjamin kestabilan politik.

Salleh turut menyifatkan pilihan GRS itu mungkin didorong oleh keinginan untuk menjalinkan hubungan yang lebih baik dengan kerajaan pusat yang diterajui oleh PH, seterusnya memastikan pembangunan yang lebih mampan untuk negeri Sabah.

“Bagi BN, kerjasama dengan PH adalah kesinambungan yang logik dan bertanggungjawab, kerana kita merupakan asas kepada Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” ujarnya, yang juga ADUN Usukan.

Mengulas mengenai peranan PH dalam menguruskan kerjasama tiga pihak antara PH, BN dan GRS, Dr Salleh menegaskan bahawa hal tersebut bukan urusan BN. Baginya, yang lebih penting ialah keikhlasan dalam bekerjasama dan usaha memperkukuh kekuatan BN di lapangan.

“Kita mahu menang dan bantu rakan-rakan dalam gabungan. Kita tidak bermain dua muka. Pendekatan kita jelas – jujur, terbuka, dan demi kebaikan rakyat Sabah,” tegas beliau.

Kenyataan ini hadir ketika landskap politik Sabah semakin rancak menjelang PRN, dengan parti-parti utama menyusun strategi kerjasama bagi memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan yang stabil serta berfungsi sebaik mungkin demi kepentingan rakyat negeri ini.

5 thoughts on “BN ikhlas terhadap kerjasama, tidak bermain dua muka – Salleh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *