BN Kalabakan sasar kembalikan ‘zaman emas’ rakyat Sabah – Samasuddin

TAWAU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kalabakan optimis mampu meraih kembali kepercayaan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan menawarkan agenda pembangunan menyeluruh berasaskan isu tempatan, peluang anak muda dan kestabilan politik.

Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, berkata perjuangan BN kali ini bukan sekadar mahu menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Namun, katanya, mereka mahu mengembalikan semula ‘zaman emas’ pentadbiran BN di Sabah antara tahun 1994 hingga 2018, yang disifatkan sebagai tempoh paling makmur dalam sejarah rakyat negeri itu.

“Kita mahu rakyat kembali menikmati zaman seperti dulu iaitu dari tahun 1994 hingga 2018, Sabah berada dalam keadaan paling makmur di bawah BN.

“Tapi selepas 2018, keadaan jadi tidak teratur dan inilah masanya untuk kita pulihkan semula kestabilan itu,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Teh & Sanggar (TEGAR71) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Baru Pasir Putih, baru-baru ini.

Beliau berkata, jentera BN Kalabakan kini giat digerakkan di semua tiga DUN iaitu Tanjung Batu, Kukusan dan Sebatik, walaupun penamaan calon belum diumumkan.

“Kita sudah bekerja sejak tahun lepas dan program bersama rakyat berjalan lancar. Di DUN Tanjung Batu, sambutan rakyat luar biasa bukti bahawa mereka masih rindu kepada kerajaan Barisan Nasional,” katanya.

Samasuddin berkata, momentum sokongan kini sudah mencapai sekitar 60 peratus, namun yakin ia akan meningkat menjelang tempoh kempen rasmi bermula 15 hingga 29 November ini.

“Apabila tempoh kempen bermula, itulah masa sebenar untuk kita pacu sepenuhnya dan saya yakin gelombang rakyat akan semakin kuat,” katanya

Mengulas tentang aspirasi BN di Kalabakan, Samasuddin menegaskan bahawa parti itu akan terus memberi tumpuan kepada penyelesaian isu-isu tempatan, termasuk masalah perparitan yang menyebabkan banjir kilat, serta memperkukuh peluang ekonomi dan kemahiran anak muda.

“Isu paling besar di Tanjung Batu ini ialah sistem perparitan. Hujan sekejap pun boleh naik air dan kedua ialah peluang anak muda kerana mereka perlukan ruang pekerjaan serta latihan kemahiran.

“Antara cadangan kita ialah mewujudkan pendaftaran kepakaran anak muda di setiap kampung supaya mereka dapat diserap dalam pelbagai bidang kemahiran dan peluang ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, BN sentiasa berpegang kepada mandat besar parti itu untuk memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran, yang menjadi asas kepada pembangunan rakyat sejak dahulu.

Dalam masa sama, Samasuddin menegaskan golongan muda menjadi penyuntik semangat utama BN Kalabakan dalam PRN kali ini, terutama apabila ramai menunjukkan minat untuk terlibat secara langsung dalam politik dan pembangunan masyarakat.

“Kita lihat anak muda sekarang semakin sedar tentang peranan mereka. Mereka tidak lagi mahu jadi pemerhati, tetapi mahu jadi penggerak dan ini semangat baharu yang menghidupkan perjuangan BN.

“Keinginan anak muda untuk memimpin dan memperbaiki kampung halaman masing-masing menjadi titik temu antara perjuangan BN dan cita-cita generasi baharu,” katanya.

Samasuddin turut menyeru semua pengundi, termasuk pengundi tegar BN dan mereka yang masih ragu-ragu, agar membuat pilihan berdasarkan rekod dan kestabilan, bukan sekadar sentimen.

“Kita perlukan kerajaan yang stabil, berpengalaman dan ada rekod terbukti. Rakyat Sabah perlu kembali memberi mandat kepada BN supaya pembangunan negeri ini dapat diteruskan dengan teratur,” katanya.

“Saya yakin dengan semangat jentera dan kesatuan akar umbi, BN berupaya menawan semula kerusi DUN Tanjung Batu pada PRN akan datang.

“Kita tidak mahu rakyat terus dijadikan bahan ujikaji politik kerana BN sudah terbukti mampu mentadbir dengan baik. Kali ini, kita mahu kembalikan kestabilan untuk Sabah dan Kalabakan,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *