BN Kota Belud mampu menangi tiga kerusi DUN – Azuwan

KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) Kota Belud mampu memenangi tiga kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan, Tempasuk dan Usukan, kata Ketua UMNO Bahagian Kota Belud Azuwan Marjan @ Norjan.

Namun begitu, ujar calon BN bagi DUN Tempasuk itu, ia mestilah berserta dengan hasil kerja keras dan sokongan padu daripada semua jentera kempen dari pelbagai peringkat.

“Insya-Allah saya cukup yakin dan pasti, dengan adanya sokongan yang padu daripada jentera-jentera kita, ahli-ahli dan pengundi kita, pastinya diketuai oleh ketua-ketua PDM (Pusat Daerah Mengundi) yang cukup berpengalaman, ketua-ketua cawangan dan sayap cawangan, kita akan memperolehi kemenangan 3-0 di Kota Belud ini,” katanya ketika berucap di majlis perjumpaan Pengerusi BN Johor bersama jentera BN Kota Belud, di sini.

Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Pengerusi BN negeri, Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan dan kepimpinan negeri dan bahagian angkat.

Turut hadir calon BN DUN Pintasan Tadzul Radim dan calon DUN Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Seterusnya, Azuwan juga mengucapkan terima kasih kepada UMNO dan BN Johor yang turun membantu.

“Terima kasih juga kepada jentera UMNO Johor yang telah berkampung di Kota Belud ini. Mereka datang untuk membantu dan hargailah bantuan dan perjuangan mereka kerana mereka melihat BN bangkit semula di Kota Belud ini kerana kita mahu menyumbang tiga kerusi di sini.

“Insya-Allah selepas 29 haribulan nanti BN akan memerintah di negeri Sabah ini,” tekadnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November lalu, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025 ini.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi. – UMNO ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *