BN pertahan Segama, tolak dakwaan rundingan terbuka

LAHAD DATU: Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama bukan kerusi rundingan terbuka, sebaliknya kekal sebagai kawasan tradisi dan kubu kuat parti itu di Lahad Datu.

Penyelaras BN Segama, Firdaus Nuljari, berkata kenyataan yang cuba menggambarkan seolah-olah kerusi tersebut terbuka untuk perbincangan antara parti komponen kerajaan perpaduan adalah tidak berasas sama sekali.

Menurutnya, keputusan pilihan raya yang lalu membuktikan sokongan majoriti pengundi Segama kekal bersama BN, bukan dengan mana-mana parti lain termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Katanya, fakta politik dan keputusan pilihan raya terdahulu jelas menunjukkan bahawa Segama bukan kerusi ‘cuba-jaya’. Ia kubu kuat BN sejak dahulu.

“Mengikut keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Lahad Datu, calon Pakatan Harapan (PH) hanya memperoleh 3,640 undi di DUN Segama, sedangkan calon BN menerima 22,740 undi di peringkat Parlimen Lahad Datu berbanding PH yang hanya meraih 8,289 undi.

“Ini menunjukkan jurang hampir tiga kali ganda perbezaan dan membuktikan kekuatan jentera serta kepercayaan rakyat terhadap BN,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Firdaus berkata, angka itu membuktikan bahawa jentera BN di Segama memiliki kekuatan akar umbi yang tersusun dan sokongan rakyat yang konsisten sejak sekian lama.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa penyandang kerusi DUN Segama, Datuk Dr. Mohamaddin Ketapi, menyertai BN lebih awal iaitu sebelum pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan serta sebelum PKR dan Pakatan Harapan (PH) menyertai kerajaan negeri Sabah bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Penyertaan beliau bukan langkah oportunis, tetapi keputusan politik yang mendahului perkembangan politik nasional.

“Dakwaan bahawa beliau pernah menyertai GRS juga tidak benar sama sekali,” katanya.

Firdaus turut berkata bahawa BN akan mempertahankan kerusi Segama berdasarkan mandat rakyat serta rekod pencapaian parti di kawasan tersebut.

Katanya, segala dakwaan bahawa DUN Segama merupakan kerusi terbuka untuk rundingan adalah tidak berasas.

“BN memiliki kekuatan akar umbi yang kukuh, jentera yang tersusun dan kepercayaan rakyat yang telah terbukti melalui keputusan pilihan raya.

“Kami kekal komited mempertahankan DUN Segama sebagai kerusi sah milik BN berlandaskan mandat rakyat dan fakta politik, bukan retorik atau politik bermusim,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *