KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah, Sufian Abdul Karim menolak dapatan awal Ilham Centre berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan menyifatkannya sebagai “sekadar akademik di atas kertas” dan langsung tidak mencerminkan kehidupan sebenar rakyat di negeri itu.
Menurut beliau, rakyat Sabah kini semakin muak dengan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwa sarat dengan skandal rasuah, kronisme serta kegagalan dasar. Katanya, walaupun kajian boleh melakar graf dan teori, ia tidak mampu menutup kegagalan nyata kerajaan yang hanya sibuk menjaga kedudukan berbanding kebajikan rakyat.
“Jika mengangkat GRS sebagai kuat hanya kerana faktor personaliti calon, itu bacaan yang terlalu dangkal. Kalau benar personaliti sudah mencukupi, sudah tentu Sabah hari ini makmur. Realitinya rakyat berdepan kos sara hidup menekan, ekonomi lembap, dan pentadbiran penuh konflik serta tercalar dengan isu integriti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sufian menegaskan BN Sabah tidak tergugat dengan laporan seperti itu kerana sejarah membuktikan BN membawa pembangunan sebenar, bukannya skandal. Beliau berkata, Gelombang Biru pada 21 September ini akan membuktikan rakyat lebih percaya kepada rekod BN berbanding retorik GRS atau angka-angka kosong dalam laporan kajian.
“GRS boleh sembunyi di balik laporan kajian, tetapi rakyat nampak jelas kegagalan dan skandalnya. Malah rakyat kini hanya ketawa kerana mampu membezakan antara teori lucu Ilham Centre dengan realiti hidup mereka setiap hari,” ujarnya.
