BN Sabah belajar daripada pengalaman, bangkit penuh keyakinan

KOTA KINABALU: Yakin bahawa “kapal belum tenggelam”, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menolak ajakan rakan-rakannya supaya meninggalkan UMNO ketika parti itu tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau berpegang pada keyakinan itu untuk terus mengemudi UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada saat parti berada dalam keadaan paling getir, ketika ramai pemimpin memilih meninggalkan perjuangan selepas kekalahan 2018.

Bung Moktar menyifatkan tempoh itu sebagai antara yang paling mencabar dalam kerjaya politiknya, terutama apabila hampir semua ketua bahagian UMNO Sabah keluar parti hingga timbul usaha menutup UMNO negeri.

Dalam wawancaranya dengan Bernama, Bung Moktar menegaskan bahawa persepsi bahawa UMNO tenggelam adalah tidak tepat, sebaliknya parti itu “masih berlabuh”.

Bung Moktar berkata kekalahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada 2020 yang menyaksikan BN hanya memenangi 14 daripada 40 kerusi ditandingi, turut menjadi pengajaran besar yang akhirnya memperkukuh strategi serta ketahanan parti.

“Tahun 2020 kita hadapi pilihan raya mengejut, bermakna tidak ada persiapan parti langsung dan saya pun tiada pengalaman…tetapi untuk PRN kali ini (2025), saya fokus dan mengaturkan strategi yang paling kuat untuk parti dan kita telah rancang daripada A hingga Z sampai hari ini, kita sudah belajar dari kesilapan.

“Pengalaman itu membawa kepada pembaharuan menyeluruh dalam BN Sabah, termasuk penyusunan semula pemilihan calon.

“Bagi PRN kali ini, 81 peratus daripada 45 calon BN terdiri daripada muka baharu, dengan hampir separuh datang daripada golongan muda serta profesional seperti doktor dan jurutera,” katanya.

Slogan “Kita Bikin Balik Sabah” digunakan sebagai gambaran iltizam BN meremajakan kepimpinan, memulihkan keyakinan rakyat dan mengembalikan momentum pembangunan negeri.

Mengulas kenyataannya “why not try me?”, Bung Moktar menyatakan kesediaannya memikul amanah lebih besar, termasuk menerajui Sabah sebagai Ketua Menteri sekiranya diberi mandat.

Katanya, rakan-rakan seperjuangannya dalam UMNO sudah pernah jadi Ketua Menteri dan berpandangan sudah tiba masanya untuk beliau pula diberi peluang menerajui kerajaan negeri bagi mengubah masa depan Sabah.

Bung Moktar berkata rekod enam penggal sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan serta pengalaman panjang membangunkan kawasan luar bandar memberi beliau kelebihan memahami realiti rakyat.

“Saya yakin selaku orang kampung, tetapi fikiran saya fikiran orang bandar, saya boleh memajukan bukan sahaja Kinabatangan atau DUN Lamag yang saya tandingi tetapi di seluruh Sabah itu sendiri,” katanya.

Jika diberikan mandat, Bung Moktar berkata tiga tahun pertama pentadbirannya akan memfokuskan pada penyelesaian isu asas rakyat seperti bekalan air dan tenaga yang merupakan aspek penting diselesaikan untuk memperkasakan ekonomi dan pengurangan kadar kemiskinan di Sabah.

“Air ini memerlukan waktu yang panjang sikit dan diselesaikan secara berperingkat, kapasiti tenaga elektrik di Sabah perlu ditingkatkan daripada 3,000 kepada 5,000 megawatt, ini bagi menarik pelaburan baharu ke negeri ini,” ujarnya.

Dengan strategi kempen yang lebih teratur serta hubungan lebih kukuh antara negeri dan Persekutuan, Bung Moktar yakin BN mampu mencipta kejutan pada PRN Sabah ke-17 ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *