BN Sabah desak reformasi pengurusan sumber negeri, Akta FPIC dan pembaharuan SMM

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan keperluan mendesak untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dalam pengurusan sumber asli negeri susulan kebimbangan rakyat terhadap isu lesen mineral yang turut mengaitkan beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Penerangan BN Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata pendedahan berhubung penglibatan ahli politik dalam urusan sumber negeri amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, BN Sabah mencadangkan tiga langkah utama bagi memulihkan keyakinan rakyat dan memastikan pengurusan sumber negeri dilaksanakan dengan telus dan beramanah.

Ujarnya, langkah pertama ialah menggubal Akta FPIC Sabah (Free, Prior and Informed Consent) bagi melindungi hak tanah adat (NCR) dan memastikan tiada rundingan dibuat di belakang rakyat.

“Kedua, BN Sabah menggesa pelaksanaan reformasi struktur Lembaga Pengurusan Mineral Sabah (SMM) supaya dikendalikan oleh profesional bebas, bukannya ahli politik yang mempunyai kepentingan.

“Ketiga, memastikan keutamaan diberikan kepada syarikat milik Anak Sabah dalam semua projek pembangunan serta eksploitasi sumber negeri.

“Sabah perlukan keberanian politik untuk mempertahankan hak rakyatnya. Hasil yang besar tidak bermakna jika maruah negeri tergadai. Bumi Sabah bukan untuk dijual tetapi untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” tegas beliau dalam satu kenyataan pada Selasa. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *