Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa kejatuhan kerajaan BN pada tahun 2018 bukanlah disebabkan penolakan rakyat di peti undi, sebaliknya berpunca daripada pengkhianatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti selepas keputusan pilihan raya diumumkan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Sabah berkata, sejarah membuktikan BN Sabah tidak pernah tewas melalui mandat rakyat, sebaliknya tumbang akibat tindakan segelintir wakil rakyat yang enggan berdiri bersama kerajaan pusat BN yang ketika itu menjadi pembangkang.
Tindakan itu bukan sahaja menggugat kestabilan politik Sabah, malah mengkhianati mandat rakyat yang telah memilih BN sebagai parti majoriti melalui proses demokrasi yang sah,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Menurut beliau, insiden tersebut harus dijadikan pengajaran besar kepada rakyat Sabah agar tidak lagi membiarkan masa depan negeri ditentukan oleh politik lompat parti.
“Politik moden bukan lagi soal siapa berkuasa, tetapi soal keabsahan dan kepercayaan. Apabila kerajaan bertukar bukan kerana kehendak rakyat, tetapi kerana pengkhianatan mandat, maka yang runtuh bukan sekadar kerajaan iaitu yang runtuh ialah institusi, moral, dan maruah politik negeri itu sendiri,” ujarnya.
Bung Moktar turut menyatakan bahawa Sabah kini sedang berdepan apa yang disebut sebagai “democratic fatigue” iaitu keletihan rakyat terhadap politik yang tidak berprinsip dan tidak konsisten.
“Setiap episod lompat parti bukan sekadar drama politik, tetapi mencederakan kontrak sosial antara rakyat dan pemimpin. Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak akan mampu menumbuhkan keyakinan. Tanpa keyakinan, tidak akan ada kestabilan yang mampu bertahan.”
Beliau menegaskan bahawa kestabilan bukan lahir daripada slogan, tetapi daripada integriti kepimpinan dan kekuatan sistem.
“UMNO dan BN membawa dua elemen utama dalam pentadbiran moden iaitu konsistensi dasar dan kesinambungan institusi. Pembangunan tidak boleh dibina di atas kekacauan politik. Pelaburan memerlukan kestabilan, dasar memerlukan kesinambungan, dan rakyat memerlukan keyakinan,” katanya.
Bung Moktar juga menyeru agar Sabah meninggalkan politik percubaan dan kembali kepada kepimpinan berwawasan serta pentadbiran yang berpaksikan akal dan kestabilan. – UMNO Online
