SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) sudah membuktikan keupayaannya membangunkan Sabah lebih tiga dekad, sekali gus menunjukkan parti itu memahami keperluan serta aspirasi rakyat negeri ini.
Ketua Sekretariat War Room UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata tempoh 34 tahun pentadbiran BN di Sabah telah meletakkan asas pembangunan negeri menerusi pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi.
Katanya, antara projek berkenaan ialah Lebuhraya Pan Borneo, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP), Projek Ammonia dan Urea Sabah (SAMUR) serta Pelabuhan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu.
“BN adalah parti nasional yang turut memberi ruang kepada parti tempatan seperti Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) untuk bersama memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini.
“Kita telah melaksanakan pembangunan berterusan selama puluhan tahun dan inilah asas kemajuan yang dinikmati rakyat hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra UMNO Libaran, di sini.
Ahmad yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menegaskan keutamaan parti kini adalah memperkukuh jentera di peringkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap persiapan UMNO Libaran untuk mengekalkan kerusi DUN Sungai Sibuga dan Sungai Manila, selain berusaha merampas kembali kerusi DUN Gum-Gum.
“Saya lihat persediaan cukup rapi dalam menghadapi PRN, tidak mustahil UMNO dan BN boleh mencatat kemenangan besar,” katanya. – Utusan Borneo
