BN terus jadi benteng kestabilan negara – Samasuddin

KALABAKAN: Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi benteng kestabilan politik, pemacu pembangunan serta suara keramat rakyat Malaysia, khususnya di negeri Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Haji Samasuddin Yusop berkata lebih separuh abad perjuangan BN membuktikan kekuatan serta komitmen parti dalam menjaga kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, selama 51 tahun, BN bukan sahaja menjadi wadah perjuangan rakyat, malah menjadi tulang belakang dalam mencorak pembangunan negara.

“Di Sabah, semangat ini masih membara dan terus menyala bersama gelombang biru rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan ulang tahun ke-51 penubuhan Barisan Nasional, kelmarin.

Samasuddin turut menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi sebagai medan penting untuk rakyat menyuarakan harapan mereka terhadap masa depan negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Penerangan dan Media Baharu UMNO Sabah berkata, PRN Sabah adalah peluang untuk kita bangkit dengan lebih kuat.

“Ia bukan sahaja soal kelangsungan politik, tetapi soal nasib rakyat, masa depan anak-anak kita dan hala tuju pembangunan negeri tercinta,” katanya

Beliau turut menyeru seluruh jentera UMNO dan BN di semua peringkat untuk bersiap sedia menghadapi PRN dengan semangat perjuangan yang utuh serta bersandarkan kepada kepercayaan dan mandat rakyat.

“Rakyat semakin matang dalam menilai. Kita tidak boleh hanya menabur janji, sebaliknya perlu tampil dengan rekod pencapaian, idea baharu serta penyelesaian tuntas terhadap isu-isu rakyat. Inilah kekuatan BN yang akan kita bawa ke hadapan.

“Semangat muafakat dan kestabilan inilah yang akan terus menjadi asas perjuangan BN di Sabah dan seluruh negara,” katanya.

 

Oleh:

Hamzah Sanudin/Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *