BN tidak akan hilang dari Sabah – Salleh

KOTA KINABALU: Bendahari UMNO Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan bahawa cubaan segelintir pemimpin untuk menghapuskan Barisan Nasional (BN) dari negeri ini hanyalah satu angan-angan yang tidak akan menjadi kenyataan.

Menurut beliau, ironinya terdapat pemimpin yang kini lantang menentang BN, sebenarnya pernah membesar dalam parti itu dan menikmati kedudukan hasil sokongan BN.

“Mereka mahu melemahkan BN kerana BN masih menjadi saingan utama. Harapan mereka, bila BN lemah, parti mereka akan naik,” katanya.

Salleh yang juga ADUN Usukan menambah, walaupun pelbagai gelombang politik melanda, BN tetap bertahan di Sabah kerana sudah lama berakar umbi dengan bahagian, cawangan dan penyokong tegar di seluruh negeri.

“Parti baharu belum tentu lebih baik. Banyak parti tempatan akhirnya hilang pengaruh kerana perjuangan mereka tidak berterusan. Apabila pemimpin tiada, parti pun tenggelam,” ujarnya.

Beliau mengingatkan, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 membuktikan kekuatan BN apabila parti itu berjaya memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri walaupun selepas gelombang politik 2018.

Salleh turut menegaskan bahawa rakyat masih merindui BN kerana jasa serta khidmat parti itu sepanjang tempoh pemerintahan. Menurutnya, jika ada kelemahan, ia berpunca daripada segelintir pemimpin, bukannya parti secara keseluruhan.

“Menyertai BN tidak bermakna kita hilang jati diri Sabah. Kad pengenalan kita tetap huruf ‘H’, perjuangan kita tetap untuk rakyat Sabah No.1,” katanya sambil menambah bahawa generasi muda mesti dilibatkan supaya perjuangan BN terus hidup.

Katanya lagi, BN bukan sahaja sebahagian daripada sejarah politik negeri ini, tetapi juga akan terus menjadi sebahagian daripada masa depannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *