SANDAKAN: Seekor buaya seberat kira-kira 200kg dan berukuran lebih kurang 9 kaki panjang berjaya ditangkap oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Sungai Obar, Batu 7, di sini, awal pagi Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Kapten Sulaiman Salama berkata operasi bermula pada jam 1.42 pagi selepas pusat kawalan operasi daerah menerima panggilan kecemasan mengenai seekor buaya yang dilihat muncul dari bawah sebuah rumah atas air selepas mengejar seekor anjing.
Pemanggil yang ketakutan melihat reptilia itu menghampiri kawasan kediaman segera menghubungi talian hotline MERS 999 untuk bantuan.
“Pasukan kami tiba di lokasi tidak lama selepas menerima laporan dan bertindak pantas mengekang buaya tersebut dengan mengikat rahangnya serta menutup matanya menggunakan selimut keselamatan bagi mengelakkannya menjadi agresif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata operasi berakhir pada jam 2.53 pagi, mengambil masa keseluruhan 49 minit, dan tiada kecederaan atau insiden yang tidak diingini dilaporkan.
Seramai lapan anggota termasuk seorang pegawai terlibat dalam operasi itu, dibantu oleh dua Jentera Penyelamat Ringan.
Sulaiman menasihatkan penduduk untuk terus berwaspada, terutama di kawasan berhampiran sungai, serta melaporkan sebarang penampakan haiwan liar atau berbahaya dengan menghubungi hotline MERS 999.
