Chaya, Ma’mun dua beradik bersaing di DUN Kukusan

TAWAU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menyaksikan dua beradik mewakili parti politik berbeza bertembung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan namun membawa misi sama iaitu memperjuangkan nasib penduduk Sabah.

Chaya Sulaiman, calon Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan berkata pertembungan politik dengan adiknya Ma’mun tidak akan menjejaskan hubungan mereka meskipun membawa ideologi politik berbeza.

“Saya membawa panji BN dan dia (Ma’mun) membawa panji partinya sendiri, pertembungan keluarga dalam pilihan raya di Parlimen Kalabakan ini bukan perkara baharu.

“Kami bertanding secara profesional, PRN ini wadah rakyat menentukan siapa yang layak mewakili mereka dan parti mana yang lebih dekat di hati rakyat,” katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Cin di sini kelmarin.

Ma’mun yang merupakan calon Parti Warisan (Warisan) di kerusi itu pula berkata hubungan kekeluargaan tetap utuh meskipun terpaksa bersaing dengan kakaknya pada PRN kali ini.

“Pada Pilihan Raya Umum 2018 saya bertanding mewakili Warisan di kerusi Parlimen Kalabakan melawan calon BN ketika itu arwah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh. Ketika itu kakak saya bekerja di kem lawan (Abdul Ghapur), namun saya menang.

“Sekali lagi, pada 2022, saya bertanding mewakili Warisan untuk kerusi Parlimen Kalabakan dan berdepan persaingan dengan calon BN iaitu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, dia (Chaya) bersama Andi melawan saya…tidak ada masalah, sehingga hari ini mungkin Tuhan sudah menentukan takdir kami bertembung di DUN Kukusan,” katanya.

Ma’mun dan Chaya antara 10 calon yang bertanding di DUN Kukusan termasuk penyandangnya Datuk Rina Jainal yang sebelum ini mewakili Warisan namun kali ini bertanding sebagai calon Bebas selepas keluar daripada parti itu dan parti Harapan Rakyat Sabah yang disertainya selepas keluar daripada Warisan.

 

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *