KOTA KINABALU: Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud tampil memperjelaskan salah tanggapan berhubung profesion calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Api-Api, Thonny Chee (gambar, tengah).
Menurut Mustapha Chee tidak pernah mendakwa dirinya sebagai peguam jadi tidak timbul persoalan mengenai kelayakannya.
Beliau berkata, tanggapan salah itu akibat pemimpin PKR dari Semenanjung membesar-besarkan kelayakan Thonny Chee dalam aktiviti kempen lalu.
“Chee tak pernah mendakwa dirinya peguam. Beliau ambil jurusan undang-undang di universiti, tetapi tidak mempraktiknya.
“Salah faham itu mungkin timbul berikutan beberapa pemimpin yang memperkenalkannya sebagai peguam semasa berkempen,” katanya sebagaimana dilaporkan FMT yang memetik The Borneo Post.
Mustapha selanjutnya berkata, Chee ditapis sebelum dinamakan sebagai calon dan ramai graduan undang-undang tidak meneruskan kerjaya sebagai peguam selepas tamat pengajian.
Chee bertanding di kerusi Parlimen Kudat pada PRU 2022 tetapi tewas dalam pertandingan lima penjuru.
Calon bebas, Datuk Verdon Bahanda memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,967 undi mengetepikan pencabar terdekatnya, Datuk Ruddy Awah dari Gabungan Rakyat Sabah.
Kali ini, Chee berdepan pertandingan lima penjuru di kerusi Api-Api yang dimenangi PKR sejak 2013.
Bekas ketua PKR Sabah, Datuk Christina Liew, julung kali memenangi kerusi itu pada 2013 dan mempertahankannya selama dua penggal lagi, tetapi bekas timbalan ketua menteri itu digugurkan PKR dalam PRN kali ini.
