KOTA KINABALU:DAP Sabah menafikan dakwaan kononnya parti itu telah memeterai pakatan rasmi secara eksklusif dengan UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 November ini.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Chan Foong Hin menegaskan tiada pakatan dua penjuru yang hanya melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sebaliknya kerjasama politik ketika ini tetap merangkumi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai rakan utama.
“Tiada perkara seperti hanya dua parti daripada dua gabungan membentuk pakatan eksklusif. PH–BN menjadi tulang belakang kerajaan, namun pada masa sama kami menghormati keunikan politik Sabah dan amat menghargai kerjasama GRS,” katanya sebagaimana dilaporkan Berita Harian.
Menggunakan analogi Perdana Menteri, beliau menyifatkan hubungan antara ketiga-tiga gabungan itu sebagai “cinta tiga segi”, dan berharap satu persefahaman dapat dicapai bagi mengelakkan pertembungan serta pertandingan pelbagai penjuru di Sabah.
Dalam masa sama, Chan tidak menolak kemungkinan DAP bekerjasama dengan Parti Warisan selepas PRN, memandangkan parti itu masih bersama kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Jika berdasarkan kerangka MADANI, tidak wajar menolak sesiapa. Namun Warisan memilih bergerak solo dalam PRN, dan kita menghormati keputusan mereka,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai penggunaan logo parti dalam PRN nanti, Chan memaklumkan bahawa keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan oleh kepimpinan DAP Sabah.
Beliau berkata, perbincangan dalaman sudah diadakan dan pandangan juga telah disampaikan kepada rakan-rakan komponen lain dalam PH.
“Buat masa ini tiada apa-apa yang diputuskan lagi. Logo tidak selalu menjadi perkara paling penting, semangat perpaduan itu lebih utama,” katanya selepas menyempurnakan penutupan Pertandingan Pengumpulan Minyak Masak Terpakai (UCO) Sekolah, di sini, hari ini.
Sebelum ini, UPKO, salah sebuah parti komponen PH Sabah telah menyatakan hasrat untuk bertanding menggunakan logo sendiri.
