SEMPORNA: Cubaan licik empat warga asing menyeludup lebih dua tan barang kawalan tumpas selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya memintas dua bot laju yang mencurigakan awal pagi 15 Julai lalu.
Menurut kenyataan PPM Wilayah 4, kejadian berlaku sekitar jam 1.10 pagi ketika bot ronda dari PPM Semporna menjalankan rondaan keselamatan di kawasan ‘hotspot’ perairan Pulau Boheian.
“Pemeriksaan mendapati dua bot berkenaan membawa 680 kilogram minyak masak paket produk Malaysia serta 2,005 liter petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar,” menurut kenyataan itu.
Empat suspek berumur antara 16 hingga 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Jumlah keseluruhan rampasan termasuk nilai aset dianggarkan berjumlah RM79,260.25.
Tindakan suspek beroperasi dalam gelap bagi mengaburi pihak berkuasa tidak berhasil apabila taktik itu berjaya dikesan oleh pasukan keselamatan maritim.
Rondaan keselamatan Pasukan Polis Marin digerakkan secara berkala untuk mencegah pencerobohan PATI, aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim lain.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” tambah kenyataan tersebut. – TVS
Kredit foto: PPM Wilayah 4 Sabah
