KOTA KINABALU: DAP Sabah menyifatkan dakwaan bahawa berlaku penghijrahan besar-besaran ahli parti itu selepas bekas pengerusinya Datuk Frankie Poon Ming Fung keluar parti sebagai bertujuan memberi persepsi salah kepada orang ramai mengenai parti tersebut.
FMT yang memetik Sabah Media melaporkan Setiausaha DAP Sabah, Vivian Wong berkata perkara seperti itu tidak berlaku dan tiada bahagian yang dibubarkan selepas Poon keluar.
“Hanya sebilangan kecil ahli meninggalkan parti, manakala bahagian-bahagian berkenaan masih berfungsi seperti biasa,” katanya.
Vivian, yang juga Ahli Parlimen Sandakan menegaskan dakwaan mengenai penghijrahan besar-besaran itu Adalah taktik politik murahan yang bertujuan mencemarkan reputasi DAP.
Wong turut menafikan bahawa Poon dan bekas setiausaha DAP Sabah, Liau Fui Fui, telah dipinggirkan oleh parti.
Beliau menjelaskan bahawa Poon dan Liau diberikan jawatan dalam GLC atas syor DAP Sabah, manakala Liau juga dipilih sebagai calon bagi kerusi Parlimen Batu Sapi pada pilihan raya umum 2022.
Liau tewas dalam pilihan raya tersebut kepada calon Gabungan Rakyat Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan.
“Kini mereka menuduh parti tidak menghargai sumbangan mereka. Itu adalah tuduhan tidak berasas,” kata Wong.
“DAP sentiasa berpegang kepada prinsip keadilan, integriti dan semangat berpasukan. Kami tidak pernah membuat keputusan berasaskan kepentingan peribadi, sebaliknya demi berkhidmat kepada rakyat dan memperjuangkan reformasi.
“Mereka meninggalkan parti atas nama memperjuangkan rakyat, tetapi hakikatnya ia semata-mata demi kepentingan politik mereka sendiri,” tambahnya.
Poon dan Liau keluar daripada DAP bulan lalu, mendakwa kepimpinan semasa peringkat negeri lebih memihak kepada ahli muda dan meminggirkan golongan veteran walaupun telah banyak berjasa selama ini.
Mereka juga mendakwa bahawa ahli daripada dua cawangan DAP telah mengikut jejak langkah mereka meninggalkan parti.
Poon merupakan ADUN Tanjong Papat yang diwakilinya selama dua penggal, dan pernah berkhidmat sebagai dalam cabinet menteri negeri dari 2018 hingga 2020.
