Demi Kerajaan Perpaduan: BN-PH perlu sepakat hadapi PRN Sabah – Salleh

KOTA KINABALU:  Barisan Nasional (BN) harus terus menjalin kerjasama erat dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, kata Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menurut Salleh, walaupun pelbagai spekulasi timbul berkenaan hala tuju BN di Sabah, prinsip asas tetap kekal — iaitu memperkukuh Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri sebagaimana yang telah terbentuk di peringkat Persekutuan.

“Ramai yang bertanya kepada saya — BN akan bergabung dengan siapa dalam menghadapi PRN Sabah? Pelbagai pandangan dan andaian telah dibuat. Ini adalah perkara biasa dalam sebuah sistem demokrasi, dan BN sentiasa terbuka kepada pelbagai pandangan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Bekas ketua menteri yang juga ADUN Usukan itu menegaskan bahawa gabungan BN dan PH harus kekal bersatu demi memastikan perpaduan, kestabilan dan pembangunan negeri dapat diteruskan. Fokus utama, katanya, bukan kepada percaturan politik sempit, tetapi kepada kesejahteraan rakyat.

Salleh turut menekankan bahawa kerjasama BN dan PH di Sabah tidak bersifat eksklusif, malah terbuka untuk membentuk gabungan dengan parti-parti tempatan yang berkongsi aspirasi serupa.

“Apa yang paling penting ialah keikhlasan dan kesediaan untuk bekerjasama. BN dan PH mesti sepakat dalam memilih rakan gabungan terbaik untuk Sabah,” ujarnya.

Jelasnya, mana-mana bentuk pakatan yang ingin dibentuk perlu berlandaskan prinsip pengagihan kerusi yang adil, dasar bersama yang menghormati autonomi Sabah, dan hubungan politik yang berteraskan saling menghormati — bukan dominasi atau sikap “abang besar”.

Salleh berkata bahawa sebaik sahaja prinsip-prinsip ini dipersetujui, semua pihak perlu melangkah ke hadapan sebagai satu pasukan demi masa depan negeri.

“Ini bukan perjuangan peribadi — tetapi komitmen bersama demi masa depan Sabah,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *