KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Kinabalu, Mohammad Azmi Amir Husin, menggesa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan Albert Tei susulan dakwaan serius yang dikaitkan dengan beliau.
Menurut Mohammad Azmi, sebagai pemimpin tertinggi negeri, Hajiji mempunyai tanggungjawab moral dan politik untuk menjawab tuduhan berat yang menyentuh soal integriti, salah guna kuasa dan kejujuran dalam pentadbiran.
“Sebagai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak boleh berdiam diri. Rakyat berhak tahu kebenaran. Jika tuduhan itu palsu, beliau sepatutnya menyaman Albert Tei bagi membersihkan nama dan maruahnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, tindakan berdiam diri hanya akan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat dan boleh dianggap sebagai tanda ketakutan atau pengakuan senyap terhadap dakwaan tersebut.
“Dalam dunia politik yang telus, diam bukan lagi pilihan. Jika benar beliau bersih, samanlah Albert Tei. Buktikan bahawa integriti bukan sekadar slogan kempen, tetapi keberanian mempertahankan kebenaran di mahkamah,” tegasnya.
Mohammad Azmi turut menambah bahawa rakyat Sabah tidak memerlukan pemimpin yang sekadar pandai berpidato mengenai kejujuran tetapi enggan berdepan cabaran apabila integriti diri dipersoalkan.
“Saya mencabar Datuk Seri Hajiji Noor untuk menyaman Albert Tei tanpa berlengah. Jika tidak, beliau perlu menjelaskan kepada rakyat Sabah sama ada sikap berdiam diri itu tanda berani atau tanda bersalah,” katanya lagi. – UMNO Online
