KOTA KINABALU: UMNO Sabah mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) segera memutuskan sama ada enam lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang dikaitkan dengan skandal perlombongan akan didakwa, sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman menegaskan, kejelasan berhubung kes itu sangat penting kerana rakyat berhak tahu status sebenar sebelum menentukan pilihan mereka.
“Kes membabitkan lapan Adun serta seorang speaker DUN daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang terpalit dengan rakaman video rasuah sejak November tahun lalu tidak boleh dibiarkan tergantung. Ia perlu diselesaikan sebelum PRN Sabah ke-17 berlangsung.
“Pengundi mesti diberi ruang untuk menilai siapa pemimpin dan parti yang benar-benar jujur serta mampu mentadbir dengan amanah,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dan dilaporkan Malaysiakini.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki memberitahu dua daripada lapan individu terbabit – Datuk Andy Suryandy Bandy dan Datuk Dr Yusof Yacob – sudah dituduh di mahkamah. Enam lagi masih menunggu keputusan AGC sama ada akan didakwa atau tidak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pernah menegaskan, keputusan pendakwaan tidak boleh dibuat semata-mata berdasarkan khabar angin.
Namun kenyataan itu dibidas oleh ahli perniagaan Albert Tei – pemberi maklumat yang mendedahkan skandal berkenaan.
Menurut Tei, beliau bukan sekadar menyerahkan video kepada SPRM, sebaliknya turut mengemukakan lebih 300 halaman dokumen sokongan.
“Dokumen yang saya serah termasuk rekod bank, surat-menyurat, jejak transaksi wang dan lokasi tertentu. Semua bahan itu disusun serta disemak silang. Malah, telefon bimbit saya yang mengandungi perbualan WhatsApp dengan beberapa Adun juga diserahkan kepada pihak berkuasa,” katanya.