KOTA KINABALU: Pertuduhan rasuah yang akan difailkan terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dalam skandal perlombongan tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Berita Harian dalam laporannya memetic Hajiji, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah sebagai berkata pentadbirannya akan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa dan mahkamah.
“Saya tidak fikir ia akan menjejaskan (kerajaan negeri). Saya dimaklumkan oleh (Suruhanjanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) bahawa pertuduhan akan difailkan terhadap dua (ADUN) … Saya tidak tahu siapa mereka.
“Kita mesti menghormati proses undang-undang. Biarlah mahkamah memutuskan sama ada mereka bersalah atau tidak. Mereka mempunyai peluang untuk membersihkan nama mereka.
“Kerajaan negeri komited untuk memastikan kita menghormati undang-undang dan juga memastikan integriti anggota kerajaan negeri serta penjawat awam,” katanya.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata tiga individu – dua ADUN dan seorang lagi individu – akan didakwa berhubung kes itu.
Skandal perlombongan yang didakwa itu dilaporkan pada 2024 selepas siri video yang mengaitkan beberapa ADUN Sabah dengannya telah bocor. Video-video itu didakwa menggambarkan perbincangan melibatkan rasuah dan salah laku berkaitan projek penerokaan mineral di negeri ini.
