PINTASAN nampaknya menjadi DUN pertama yang diisytiharkan sebagai medan perang Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sama ada GRS mengekalkan penyandang Datuk Fairuz Renddan dari Gagasan Rakyat untuk mempertahankan kerusi itu, atau menurunkan Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin Mulia, pertembungan dengan BN nampaknya tidak dapat dielak.
Malam tadi pada satu majlis di Kampung Nanamun, Kota Belud, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengesahkan BN akan mempertaruhkan calon dari UMNO untuk bertanding di kerusi itu.
Pengesahan itu hadir hanya tiga hari selepas Pandikar menyatakan secara terbuka hasratnya bertanding di Pintasan, kerusi di mana dia dikalahkan oleh Fairuz pada PRN16 dahulu.
Kenyataan Pandikar menyebabkan banyak pihak menjangka akan berlaku kemelut dalam GRS mengenai siapa yang sepatutnya layak dicalonkan di kerusi tersebut.
Sebagai presiden salah sebuah parti komponen dalam GRS, Pandikar sudah tentu mengharapkan keistimewaan memilih kerusi yang dirasakannya munasabah. Tetapi Fairuz juga, walaupun masih muda, bukan calang-calang. Dia bukan sahaja penyandang, malah Ketua Pemuda Gagasan Rakyat – parti yang menjadi tonggak GRS.
Jadi suka atau tidak GRS akan berada dalam keadaan ditelan mati emak, diluah mati bapa. Menidakkan kehendak USNO dan Pandikar memungkinkan parti itu hilang satu lagi komponen selepas STAR dan SAPP meninggalkannya tiga minggu lalu.
Kini BN pula menambahkan panas kerusi tersebut.
Pada PRN16 BN tidak bertanding di Pintasan kerana memberi laluan kepada GRS susulan persefahaman yang dicapai dalam pembentukan pakatan longgar antara kedua-dua pihak.
Tetapi kali ini, BN diyakini tidak akan berundur walau seinci pun daripada hasrat untuk menawan kerusi tersebut.
Dan bukan hanya Pintasan, BN juga pastinya bersedia bertembung di GRS di banyak lagi kerusi lain, terutama di kerusi-kerusi yang secara tradisinya memang milik barisan itu.
Yang menarik untuk diperhatikan nanti adalah bagaimana Pakatan Harapan (PH) Sabah hendak memposisikan diri apabila berhadapan situasi begitu. Dalam keadaan perlu memilih, ke mana ‘kasih’ mereka terarah memandangkan BN dan GRS yang tidak boleh bertentang mata itu sama-sama menjadi sekutu PH?
