DUN Sabah akan dibubar sebelum tamat penggal

PENAMPANG: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan sebelum ia terbubar secara automatik pada 11 Nov ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-17, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

“Memang tidak lama lagi, sabarlah. Tunggu, kalau cuaca ini terang, kita bubarlah. Cuaca baik nanti,” katanya sambil berseloroh ketika ditemui pemberita selepas menutup Konvensyen Mahasiswa Sabah 2025 di Dewan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), di sini, hari ini.

Mengulas mengenai ramalan Jabatan Meteorologi yang menjangkakan hujan berpanjangan pada November, Hajiji menegaskan ia tidak akan menjejaskan pelaksanaan PRN.

“Itu jabatan kaji cuaca yang bilang. Soal pembubaran, kita yang tentukan. Kita tiada pilihan sebab tempoh DUN terbubar sendiri bulan November, jadi mesti kita adakan sebelum itu,” katanya.

Ditanya sama ada DUN mungkin dibubarkan seawal Oktober ini, Hajiji hanya menjawab ringkas dengan meminta sokongan kepada kerajaan yang dipimpinnya ketika ini.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan semua pihak agar mengekalkan keharmonian dan kestabilan politik negeri menjelang pilihan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *