KOTA KINABALU: Presiden Parti Gemilang Anak Sabah (GAS), Datuk Jismit Japong menjangkakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, akan membuat pengumuman mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 19 September ini.
Sinar Harian melaporkan Jismit membuat andaian itu berdasarkan khabar angin yang didengar oleh beliau.
“Saya difahamkan Ketua Menteri akan membuat pengumuman pada 19 September jam 4 petang. Sejauh mana kebenarannya, saya tidak pasti,” Jismit dipetik sebagai berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) GAS di sini, pada Ahad.
Menurut Sinar Harian, ketika ditanya bagaimana beliau mengetahui mengenai tarikh itu, Jismit memaklumkan perkara itu sudah tersebar dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Di kedai-kedai kopi pun ramai orang bercakap. Mereka beritahu saya Ketua Menteri akan buat pengumuman pada 19 haribulan, jam 4 petang. Jam 2, mereka kata Ketua Menteri akan menghadap TYT, “ katanya.
Walaupun mengakui tidak tahu sejauh mana kebenaran cakap-cakap itu, namun Jismit berpendapat logiknya memang ada.
Laporan yang sama memetik Jasmit sebagai memaklumkan GAS akan dilancarkan pada 21 September di Beaufort. Manifesto parti juga akan dilancarkan pada majlis yang sama.
“Dijangka tidak kurang daripada 10 manifesto yang akan diumumkan, selain kita kekal umumkan 55 calon kerusi DUN dari GAS.
“Selepas itu, pelancaran parti turut akan dibuat di kawasan Pantai Timur namun tarikh belum ditentukan lagi,” katanya.
