KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia, pada Isnin.
Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berkata seluruh warga DUN Sabah serta Ahli Dewan Undangan Sabah berasa dukacita atas pemergian seorang negarawan yang mempunyai banyak jasa kepada negara.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan semoga roh Almarhum (Tun Abdullah) dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman, Al-fatihah,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, semalam.
Abdullah, 85, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pada 7.10 malam Isnin.
Sementara itu Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor ketika menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menyifatkan Abdullah sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara ini, dan telah melancarkan lima Koridor Ekonomi Malaysia ketika pemerintahannya termasuk Koridor Pembangunan Sabah atau SDC pada tahun 2008.
“Antara objektif projek SDC ini adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pintu masuk untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan, menjadikan negeri ini lebih celik teknologi dan sebagai negeri yang selesa untuk didiami, harmoni tanpa mengira bangsa dan agama. Projek ini telah memberi banyak manfaat dalam pembangunan negeri.
“Dalam masa sama, Tun Abdullah yang memimpin negara selama enam tahun itu juga adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai,” katanya dalam kenyataan..
Hajiji turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.
