KOTA KINABALU: Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Edna Jessica Majimbun menjadi calon wanita tunggal yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).
Beliau juga berhasrat menjadi wanita pertama yang memegang jawatan wakil rakyat di kawasan itu.
Komitmen dan disiplin beliau terserlah apabila tiba sebagai calon pertama di pusat penamaan calon Dewan Maksak Likas dan menyatakan beliau bertanding dengan misi memberi suara yang lebih kuat kepada semua komuniti di Inanam.
“Saya mahu memberi suara kepada semua warga Inanam dan membawa pembaharuan yang sejajar dengan pembangunan semasa.
“Sepanjang kempen saya akan menumpukan perhatian kepada aspek perwakilan, khidmat kepada rakyat dan pembangunan jangka panjang Inanam,” katanya.
Dalam pada itu semasa ditanya tentang prinsip persaingan politik berikutan adiknya, Shone Eric Jr Majimbun turut bertanding sebagai calon bebas di bawah gerakan Black Wave, Edna menegaskan perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada demokrasi.
“Politik adalah demokrasi. Orang lain ada ideologi berbeza, jadi itu bukan masalah.
“Tidak wujud unsur pergaduhan antara kami dua beradik kerana kami tidak bercakap perihal politik apabila berada di rumah,” katanya.
Selain kedua-dua anak bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun, pertandingan sengit turut membabitkan penyandang Datuk Peto Galim dari Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya negeri 2020 dengan majoriti 5,638 undi serta bekas wakil rakyat Inanam, Datuk Kenny Chua Teck Ho dari Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STARSabah).
Calon lain termasuk Datuk Dr Roland Chia yang bertanding sebagai calon bebas selepas meninggalkan Parti Gagasan Rakyat Sabah; Datuk Wong Thien Fook (United Progressive Kinabalu Organisation – Upko); Lewis Wong (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat – KDM); Joseph Linggian (Parti Kerjasama Anak Negeri – Anak Negeri); Paul Anap (Parti Impian Sabah – PIS); Gordon Lai Han Yung (Parti Bumi Kenyalang – PBK); Chia Yun Kong (Parti Perjuangan Rakyat – PR); Martin Sibit (Parti Gemilang Anak Sabah – GAS) dan Sumali @ Marino Ahmad (Parti Rumpun Sabah – Rumpun Sabah).
