Empat lagi cawangan DAP di Sandakan keluar parti

SANDAKAN: DAP Sabah terus bergolak apabila empat lagi cawangannya di Sandakan mengumumkan tindakan keluar parti sebagai tanda protes terhadap kepimpinan negeri.

Langkah itu merupakan susulan peletakan jawatan bekas pengerusi negeri Datuk Frankie Poon dan bekas setiusaha negeri Liau Fui Fui.

Dalam satu kenyataan bersama pada Isnin, pengerusi cawangan Pasar Sibuga, Kampung Berhala Darat, Yii Villa dan Happy Valley berkata keputusan kolektif untuk keluar dibuat selepas perbincangan dalaman dan persetujuan sebulat suara dalam kalangan ahli.

Mereka menegaskan bahawa tindakan itu dibuat secara bebas tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar.

“Kepimpinan DAP Sabah ketika ini telah menyimpang daripada semangat asal penubuhan parti dan gagal menghargai pengorbanan ahli akar umbi serta veteran yang telah lama berjuang untuk parti dan rakyat,” kata mereka sebagaimana dilaporkan The Star.

Mereka turut menyatakan sokongan terhadap keputusan Poon dan Liau meninggalkan parti, dengan menyifatkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh kedua-dua pemimpin itu sebagai “mencerminkan realiti yang turut dihadapi oleh ahli akar umbi di Sandakan.”

“Landasan politik mungkin berubah, tetapi komitmen kami untuk terus berkhidmat kepada rakyat tetap tidak berganjak,” tambah mereka, sambil menyatakan bahawa mereka akan terus berjuang secara bebas untuk komuniti masing-masing.

Dengan tindakan yang diambil oleh empat cawangan itu kini jumlah cawangan yang meninggalkan DAP selepas peletakan jawatan Poon dan Liau meningkat kepada enam. Walau bagaimanapun jumlah sebenar ahli DAP Sandakan yang telah meninggalkan parti masih belum dapat dipastikan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *