Empat rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Empat rumah tidak kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Sri Menanti Blok C, petang semalam.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jehrey Ibno, kebakaran melibatkan struktur rumah berkeluasan antara 15×20 kaki hingga 30×60 kaki.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang dan tiba di lokasi kejadian 11 minit kemudian.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air yang diambil dari sumber terbuka,” katanya dalam kenyataan.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.45 malam dan melibatkan 18 anggota bomba dari BBP Tawau serta enam anggota Bomba Komuniti Titingan.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.

Pihak bomba menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan pendawaian elektrik dan peralatan berisiko berada dalam keadaan selamat bagi mengelak kejadian sama berulang. – TVS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *