TAWAU: Kegiatan empat lelaki warga asing yang menyimpan puluhan bilah pisau taji terbongkar selepas kediaman mereka di Kampung Apas Parit, di sini, diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi khas yang dijalankan kelmarin.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, semua suspek berusia antara 31 hingga 52 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Wildlife Crime Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Bukit Aman dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, hasil serbuan di sebuah rumah tidak bernombor itu membawa kepada rampasan 40 bilah pisau taji yang disembunyikan di lokasi berkenaan.
“Ketika serbuan dilakukan, keempat-empat suspek berada di dalam rumah berkenaan. Pasukan polis memperkenalkan diri sebelum menahan mereka dan menjalankan pemeriksaan di rumah berkenaan.
“Hasil pemeriksaan menemukan 40 bilah pisau taji yang dipercayai disimpan tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, semakan lanjut mendapati hanya seorang daripada suspek memiliki pasport yang sah, manakala tiga lagi tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.
Katanya, semua suspek bekerja sebagai buruh di kawasan sekitar dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam pada itu, Champin turut menegaskan bahawa pemilikan senjata berbahaya seperti pisau taji adalah satu kesalahan serius yang boleh mengancam keselamatan awam.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang ini dan orang ramai juga digesa supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau mencurigakan kepada pihak polis,” katanya. – Sabah Post

https://shorturl.fm/qIgXo