Fitnah tular bukti politik terdesak, cubaan pecah belah kaum – Nizam

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menyifatkan tuduhan tular yang mendakwa beliau tidak memerlukan sokongan masyarakat Bugis sebagai satu fitnah bertujuan merosakkan keharmonian kaum di daerah ini.

Nizam berkata, dakwaan berkenaan jelas menunjukkan ada pihak yang semakin terdesak menjelang hari pengundian sehingga sanggup memainkan sentimen perkauman bagi mengelirukan pengundi.

“Isu tular itu satu fitnah yang sangat jelas. Ia tidak pernah keluar daripada mulut saya. Semua orang di Tawau tahu saya berkawan baik dengan semua suku kaum.

“Ini taktik terdesak kerana mereka sudah kehabisan modal,” katanya ketika ditemui pada majlis ceramah perdana calon GRS N.68 Apas, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, tindakan mengaitkan nama salah satu komuniti terbesar di Tawau adalah cubaan sengaja untuk memecah-belahkan masyarakat dan menimbulkan persepsi buruk terhadap dirinya.

Nizam menegaskan rekod perkhidmatannya membuktikan beliau sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan semua kaum tanpa mengira asal-usul, malah beliau sendiri memainkan peranan memastikan Festival Kebudayaan Antarabangsa diteruskan di Tawau.

“Saya sendiri berjumpa pimpinan negeri bagi mendapatkan kelulusan festival itu yang menghimpunkan pelbagai suku kaum.

“Jadi bagaimana saya boleh dituduh tidak mahu sokongan komuniti tertentu?” katanya.

Katanya, tindakan memutarbelit fakta oleh pihak tertentu menunjukkan bahawa lawan berada dalam keadaan tertekan sehingga sanggup menggadaikan keharmonian masyarakat demi kepentingan politik sempit.

Sehubungan itu, Nizam mengesahkan bahawa pihaknya telah mengarahkan peguam membuat laporan polis terhadap portal berita yang menyebarkan dakwaan berkenaan.

“Saya mahu pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Ini bukan fitnah kecil, tetapi fitnah yang cuba memecah-belahkan masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata budaya politik sedemikian dibawa masuk oleh pihak luar yang tidak memahami realiti politik Sabah.

“Ada pihak dari luar cuba membawa budaya politik kasar, menghentam peribadi dan menyentuh soal keturunan. Ini bukan budaya kita. Orang Sabah tidak menerima politik seperti itu,” katanya.

Nizam turut menyeru rakyat menolak mana-mana pihak yang cuba menanam politik perpecahan hingga menggugat keharmonian kaum.

Walaupun berdepan serangan bermotifkan fitnah, beliau berkata kempen di DUN Apas tetap berjalan lancar dan sokongan pengundi kekal kukuh.

“Saya percaya pengundi Apas matang dan bijak menilai. Mereka tahu membezakan antara fakta dan fitnah, dan mereka melihat siapa yang benar-benar bekerja untuk rakyat,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *