KOTA KINABALU: Floating Club House@Gaya Island yang unik dan mampu menampung seramai 110 orang pada satu-satu masa menjadi tarikan pelancongan baharu dan pertama seumpamanya di Sabah.
Fasiliti yang dibina secara inovatif di atas laut dengan gabungan reka bentuk lestari bersama kemudahan mewah dan ruang yang direka rapi untuk bersantai bagi menikmati pemandangan, menjamu selera dan beriadah mampu menetapkan penanda aras baharu bagi pengalaman pelancongan berasaskan laut di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri panglima Christina Liew berkata, pembinaan fasiliti oleh Lazy Cat International Travel Service Co. Ltd adalah satu pencapaian baharu dalam pembangunan sektor pelancongan negeri.
“Struktur ini adalah produk pelancongan baharu Sabah dan membuktikan kekuatan kolaborasi strategik antara sektor awam dan swasta dalam memperkasa pelancongan bernilai tinggi di negeri ini.
“Dengan adanya destinasi pelancongan baharu ini, saya berharap lebih ramai pelancong luar dari China, Korea, Jepun dan negara lain akan tertarik ke Sabah.
“Saya juga dimaklumkan satu lagi fasiliti seumpama sedang dirancang untuk dibina di Kota Kinabalu,” katanya ketika melancarkan Floating Club House secara rasmi pada Jumaat.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, pelancong global kini semakin mencari pengalaman premium yang bersifat mendalam dan Sabah terus menarik pelabur yang berpandangan jauh untuk membangunkan aset semula jadi menjadi produk pelancongan yang luar biasa.
“Antaranya ialah Lazy Cat International Travel Service Co. Ltd yang muncul sebagai penyumbang utama kepada transformasi ini.
“Komitmen mereka terhadap Sabah sangat menyeluruh bermula menyediakan armada kapal layar mewah untuk pelayaran pulau dan pelayaran matahari terbenam, sehingga pelaburan dalam sektor makanan dan minuman serta pelancongan budaya…ini mampu menyemarakkan lagi ekonomi pelancongan kita,” katanya.
Beliau turut menekankan peranan anak syarikat tempatan Lazy Cat, iaitu Cheetah Transportation Sdn Bhd yang melaksanakan inisiatif itu dan memperkukuh infrastruktur serta perkhidmatan pengangkutan laut yang menyokong pelancongan marin di seluruh Sabah.
“Sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, saya menyokong pembangunan pelancongan yang berani, lestari dan inklusif.
“Kami mengalu-alukan lebih banyak syarikat seperti Lazy Cat dan Cheetah Transportation membawa idea, komitmen dan pelaburan mereka ke Sabah seterusnya bersama komuniti setempat.
“Bagi pihak kerajaan Sabah, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Lazy Cat, Cheetah Transportation Sdn Bhd dan semua rakan kongsi yang terlibat dalam projek luar biasa ini,” katanya.
Dalam pada itu, Christina turut mendedahkan bahawa Lazy Cat kini sedang bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi membangunkan projek pelancongan bersepadu berskala besar di Semporna dan ini satu lagi usaha yang diyakini akan mengukuhkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Terdahulu, beliau melawat Floating Club House diiringi Pengerusi Lazy Cat, Zhao Jun, yang memaklumkan keindahan semula jadi pulau-pulau di perairan Sabah menjadi inspirasi kepadanya untuk membina fasiliti itu di Pulau Gaya.
Sementara itu, Pengarah Cheetah Transportation Sdn Bhd, Eric Yong memaklumkan bahawa syarikatnya akan menyediakan perkhidmatan kapal layar mewah berkapasiti 35 orang yang dibina di China bagi membawa pelawat dan pelancong ke fasiliti berkenaan setiap hari. – Utusan Borneo
