Forum Perdana ‘Bermulanya Hijrahku’ tarik lebih 2,000 hadirin di Kota Marudu

KOTA MARUDU: Masjid at-Taqwa Kota Marudu bergema dengan pengisian ilmu dan tazkirah yang menyentuh jiwa menerusi penganjuran Forum Perdana bertemakan “Bermulanya Hijrahku” yang berjaya menghimpunkan lebih 2,000 hadirin dari pelbagai lapisan masyarakat.

Program anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Fateh Sabah (PKAS) itu turut mendapat kerjasama erat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Badan Dakwah Kota Marudu, Masjid at-Taqwa, Masjid Nawarah, Ahli Dewan Belia Sabah serta NADI Kota Marudu.

Forum menampilkan dua pendakwah tersohor tanah air iaitu Datuk Mohd Kazim Elias dan Abdullah Khairi yang menyampaikan tazkirah dalam gaya santai namun penuh penghayatan, sementara tugas moderator digalas Nabil Ahmad.

Kehadiran luar biasa masyarakat setempat menggambarkan sambutan hangat terhadap program keilmuan sebegini, sekali gus memperkukuh jalinan ukhuwah dan memperkasa nilai kerohanian ummah menjelang permulaan tahun hijrah yang baharu.

Pengerusi Penganjur, Farid Liman yang juga Pengerusi PKAS merangkap Ahli Dewan Belia Sabah Bandau berkata, forum ini dianjurkan bagi menyemarakkan semangat hijrah dalam kalangan masyarakat.

“Hijrah bukan hanya perubahan tempat, tetapi juga perubahan hati, akhlak dan hala tuju hidup ke arah yang lebih diredai Allah,” katanya ketika ditemui selepas program.

Rata-rata hadirin meluahkan rasa teruja dan gembira apabila program berskala besar sebegini diadakan di daerah ini, apatah lagi dengan kehadiran penceramah terkenal tanah air yang dinantikan ramai.

Penganjuran forum ini diharap dapat menjadi titik tolak kepada lebih banyak program dakwah dan pembangunan sahsiah dianjurkan di masa akan datang, demi kemajuan ummah dan kesejahteraan masyarakat di Kota Marudu. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *