Gagasan Rakyat Bugaya komited pecahkan dominasi Parti WARISAN

SEMPORNA: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bugaya komited mahu memecahkan dominan Parti Warisan (WARISAN) di Semporna pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Ketua Bahagiannya, Marunda KK Ampong memberi bayangan bahawa jentera Parti WARISAN di kawasan itu sudah lumpuh.

“Parti WARISAN sudah semakin lumpuh sejak saya bersama lebih 4,000 ahli meninggalkan parti itu pada bulan Mac 2023 lalu.

“Justeru, saya melihat ia adalah peluang baik kepada Gagasan Rakyat merampas kerusi DUN Bugaya dengan majoriti yang lebih besar,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis iftar Ramadan dan penyampaian sumbangan sentuhan kasih kepada 1,200 orang penerima di Dewan Sungai Buaya, di sini, pada Jumaat lepas.

Menurutnya, selepas Barisan Nasional (BN) mendominasi Semporna sejak sekian lama dan kemudian ditawan Parti WARISAN, kini tiba masanya Gagasan Rakyat menawan Semporna terutama DUN Bugaya.

“Saya sudah gerakkan jentera, kita tubuhkan sayap-sayap dan selepas itu kita mula turun ke bawah untuk mendaftar cawangan-cawangan yang berminat.

“Waktu saya keluar dari Parti WARISAN, lebih 4,000 keluar bersama-sama saya untuk menyertai Gagasan Rakyat,” katanya.

DUN Bugaya ketika ini diwakili oleh Jamil Hamzah dari Parti WARISAN yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada November 2022 berikutan kematian penyandangnya, Datuk Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020.

PRK ditunda sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022 berikutan darurat COVID-19 yang hanya ditamatkan selepas pandemik itu pulih. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *