Gas LPG: Kenyataan pembangkang bersifat politik dan mengelirukan – Armizan

KOTA KINABALU: Kenyataan pihak pembangkang berkenaan isu pemansuhan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) bersifat politik dan mengelirukan rakyat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, tidak wujud pemansuhan subsidi LPG dan penguatkuasa KPDN tidak pernah memberikan notis kompaun.

“Notis yang disampaikan hanya kenyataan pemeriksaan premis-premis perniagaan, ia adalah dokumen standard bagi pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh pegawai-pegawai penguatkuasa kita untuk melihat pematuhan kepada perundangan di bawah bidang kuasa KPDN.

“Pemeriksaan melihat kepada permit barang kawalan yang mana peraturan itu bukanlah peraturan baharu dibawah Kerajaan Madani, ia telah berkuatkuasa sejak 15 Oktober 2021 iaitu sejak kerajaan lalu.

“Dalam peraturan itu menyebut, mana-mana pihak yang menyimpan atau menggunakan barangan terkawal melebihi kadar tertentu, maka diwajibkan untuk memohon permit barang kawalan.

“Dalam hal ini, mana-mana pihak yang menyimpan atau menggunakan tong LPG pada satu-satu masa melebih daripada 42 kilogram atau tiga tong perlu untuk memohon permit berkenaan,” katanya dalam sidang media Pengumuman SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2025, di sini semalam.

Beliau berkata, sekiranya dikaitkan dengan gerai-gerai makanan seperti gerai burger dan sebagainya, para peniaga itu tidak ada keperluan untuk memohon permis berkenaan disebabkan mereka tidak menyimpan dan menggunakan tiga tong LPG dalam satu-satu masa.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong dari Parti Warisan (WARISAN) mengaitkan perkara itu dengan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) Plus dan ini hanya bersifat politik sahaja.

“WARISAN adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan dan saya fikir tidak wajar beliau membuat kenyataan yang mencalarkan imej kerajaan Pusat dengan kenyataan yang tidak tepat dan tidak mempunyai fakta.

“Ini semua boleh mengelirukan rakyat dan saya berharap beliau bertanggungjawab sebagai seorang ADUN kepada parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

“Kau boleh kritik, suarakan isu tetapi kalau ia adalah fakta yang mengelirukan…bagi saya ia adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *