KOTA KINABALU: Program Gelombang Biru yang bakal berlangsung pada 21 September ini dijangka menjadi perhimpunan politik terbesar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, himpunan tersebut bukan sekadar simbol, tetapi menandakan keyakinan rakyat bahawa era Barisan Nasional (BN) untuk kembali mentadbir negeri semakin hampir.
“Gelombang Biru kali ini bukan sahaja akan menggegarkan pentadbiran GRS, tetapi juga mencerminkan aspirasi rakyat yang mahu melihat Sabah kembali ke landasan pembangunan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, program yang akan diadakan di Magellan Sutera itu akan menghimpunkan pimpinan, jentera serta rakyat yang percaya Sabah memerlukan kepimpinan yang stabil, konsisten dan berwibawa.
Beliau menambah, BN Sabah hadir dengan rekod pencapaian yang tidak boleh dinafikan dan jentera parti kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk menghadapi PRN-17 pada bila-bila masa.
“Kehadiran rakyat pada 21 September nanti adalah mesej jelas bahawa rakyat sudah bersedia menamatkan episod pentadbiran yang lemah, dan membuka lembaran baharu bersama BN yang terbukti menjaga kepentingan negeri,” tegasnya.

https://shorturl.fm/0o7zA