KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menegaskan bahawa kehadiran ribuan penyokong BN pada pelancaran jentera parti membuktikan sokongan terhadap BN dan UMNO masih kukuh, sekali gus menepis dakwaan kononnya parti itu semakin lemah di Sabah.
Beliau juga Ketua UMNO Negeri Sabah berkata, kejayaan program tersebut menunjukkan BN bukan sahaja berkumpul untuk meraikan pelancaran jentera, tetapi hadir dengan tekad memperkukuhkan gerakan parti bagi merampas semula pentadbiran kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
“Ada yang kata sambutan BN di Sabah sudah tidak ada, UMNO sudah hancur tapi hari ini kita buktikan kepada mereka bukan hanya hadir semata-mata merayakan sama-sama pelancaran jentera BN tetapi hadir untuk menyatakan bahawa parti ini sudah bersedia untuk merebut kerajaan negeri dalam pilihan raya ini.
“Mana-mana ahli yang ‘merajuk’ agar kembali istiqamah dan bersama perjuangan parti. Percaya dengan qada’ dan qadar, rezeki tidak salah alamat tetapi peluang untuk menang terlalu besar, kalau peluang ini kita lepas tidak ada lagi peluang yang akan datang. Akhirnya UMNO dan BN akan menjadi lemah dan tidak lagi bernafas di bumi Sabah ini,” katanya pada program pelancaran jentera BN di Grand Ballroom, The Pacific Sutera Hotel, Sutera Habour, Kota Kinabalu, pada Ahad.
Turut hadir; Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden PBRS, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, Friends of BN serta semua pimpinan BN dan penyokong-penyokong.
Mengulas lanjut, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mengingatkan seluruh jentera parti agar bekerja bersungguh-sungguh dan mematuhi arahan kepimpinan demi memastikan kemenangan calon-calon BN.
“PRN ke 17 ini pastikan angkat panji-panji barisan sampai ke puncak gunung Kinabalu. Kita sudah redah lautan, sudah mendaki bukit. Perahu sudah di air, kayu sudah ada di tangan, kita kayuh hingga mencapai kemenangan.
“Demi parti kita berjuang untuk parti bukan untuk diri sendiri. Parti lebih utama dari pemimpin dan itu prinsip kita. Ketua parti adalah pemimpin, dengarlah ketua parti. Kalau kita tidak mendengarnya maka tidak perlulah ada ketua, kita yang jadi ketua. Kalau mahu jadi ketua, tubuhlah parti sendiri.
“Biar mereka (pihak lawan) berebut kuasa, biar mereka berebut projek. Pastikan setiap calon yang tanding, kita bantu, patuh untuk mencapai kemenangan. Kita sudah bersedia ke hadapan dengan sokongan semua jentera parti. Jangan lagi lalai macam dulu akhirnya kita hilang kuasa,” katanya lagi.
Tambah Bung lagi turut menyentuh komitmen BN untuk menyelesaikan isu-isu utama rakyat Sabah seperti air bersih, bekalan elektrik, jalan raya serta peningkatan ekonomi negeri.
“Kita akan selesaikan isu air bersih, elektrik, jalan raya dan pertingkatkan ekonomi negeri Sabah untuk membantu rakyat. Mudah-mudahan mencapai kejayaan dan pastikan kerajaan BN yang bakal ditubuhkan serta pastikan kemenangan calon-calon BN.
“Kita buat negeri Sabah ini menjadi hebat semula dan akan fokus pada tuntutan dan masalah rakyat. Pastikan kita perkukuhkan jentera di kawasan masing-masing, pusat daerah mengundi (PDM), cawangan dan apa program yang dilakukan harus diteruskan dan ‘never give up move on’,” ujarnya.
Ujarnya lagi, mudah-mudahan Allah SWT memberi semua petunjuk dan kekuatan serta memastikan kemenangan calon-calon BN pada PRN Sabah.
“Kita buat semula Sabah untuk menjadi hebat kembali pada masa akan datang apabila BN kembali menerajui negeri ini. Kita pastikan rakyat Sabah dapat hidup lebih baik dari keadaan hari ini,” tegasnya. – UMNO Online
