Gerakan Bersatu Sabah (GBS) bakal dilancar sebelum PRN?

KOTA KINABALU: Dua bekas parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) kini dalam proses menubuhkan blok politik baharu dikenali sebagai Gerakan Bersatu Sabah (GBS).

Malaysiakini dalam laporannya semalam memetic Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan sebagai berkata, perbincangan sedang diadakan dengan beberapa pemimpin parti tempatan lain yang berminat menyertai GBS, dengan pelancarannya dijangka berlangsung beberapa hari sebelum hari penamaan calon pada 15 November bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang dijadual 29 November ini.

Menurutnya, blok baharu itu bercadang untuk bertanding di semua 73 kerusi DUN, sekali gus bakal berentap dengan bekas sekutu mereka dalam GRS. Buat masa ini, GBS akan berfungsi sebagai pakatan ad hoc dengan STAR dan SAPP sebagai teras utama.

Jeffrey menjelaskan bahawa antara parti yang sedang dipelawa ialah Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM). Beliau telah berbincang dengan Timbalan Presiden KDM, Wetrom Bahanda, namun penyertaan parti itu masih belum dimuktamadkan.

“Saya tidak pasti sama ada mereka akan menyertai GBS kerana KDM telah mengumumkan terlalu banyak calon. Jika mereka bersama kami, rundingan kerusi perlu dikaji semula untuk elak pertindihan,” katanya.

STAR kini dianggap tonggak utama dalam GBS selepas memenangi enam kerusi pada PRN lepas, manakala SAPP belum pernah memenangi sebarang kerusi sejak lebih sedekad lalu. KDM pula, di bawah pemangku presiden Priscella Peter selepas pemenjaraan Peter Anthony, dilihat semakin berpengaruh selepas kejayaan di kerusi Parlimen Kota Marudu serta dua DUN – Melalap dan Bandau.

Jeffrey turut memaklumkan bahawa beberapa parti kecil termasuk Parti Kerjasama Anak Negeri, Pertubuhan Perpaduan Nasional Sabah (Perpaduan), dan PKDM, serta beberapa parti dari Sarawak turut menyatakan minat untuk menjadi rakan sekutu.

Sebelum ini, Jeffrey telah melancarkan gerakan Keadilan untuk Sabah di bawah inisiatif Sabah untuk Sabah, bagi mengukuhkan solidariti politik Kadazandusun Murut serta memperjuangkan hak negeri.

Beliau menegaskan bahawa GBS berhasrat membentuk kerajaan negeri yang baharu, atau sekurang-kurangnya bergabung dengan parti tempatan lain jika tiada majoriti mutlak. “Keutamaan kami ialah parti-parti tempatan. Jika cukup kerusi, kami akan bentuk kerajaan,” katanya.

Jeffrey juga menolak kemungkinan kembali ke GRS, namun terbuka untuk bekerjasama sekiranya Parti Bersatu Sabah (PBS) memutuskan untuk keluar daripada gabungan tersebut.

Dalam pada itu, beliau menegaskan perlunya Sabah diterajui ketua menteri yang kuat, terutama selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober yang mewajibkan kerajaan persekutuan dan negeri menyemak semula bayaran hasil 40 peratus dalam tempoh 180 hari.

“Jika kerajaan persekutuan tidak merayu keputusan itu, kita perlukan ketua menteri yang berani berunding. Jika tidak, Sabah akan terus dirugikan,” tegas Jeffrey.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *