KINABATANGAN: Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kinabatangan, Mohd Fazirul Sulaiman menyifatkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kali ini sebagai referendum rakyat terhadap kegagalan kerajaan GRS dalam melindungi keperluan asas dan menjamin keselamatan makanan rakyat.
Menurut beliau, Tahap Sara Diri (SSL) beras Sabah yang hanya berada pada paras 22.6 peratus membuktikan kerajaan negeri gagal melaksanakan tanggungjawab paling asas kepada rakyat.
“Daripada sepuluh pinggan nasi yang rakyat makan setiap hari, hanya dua datang daripada sawah kita sendiri, manakala lapan lagi diimport dari luar. Ini bukan angka kecil dan ini bukti nyata kegagalan dasar pertanian GRS,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Fazirul menegaskan, kegagalan ini bukan sekadar isu ekonomi tetapi soal maruah dan kedaulatan rakyat Sabah yang kini bergantung kepada bekalan luar.
“Bayangkan jika berlaku gangguan bekalan import atau krisis global, dapur rakyat Sabah akan menjadi kosong dalam masa beberapa minggu. Negeri yang kaya dengan tanah subur kini berdiri di ambang krisis makanan kerana kerajaan yang lemah dan dasar yang cuai,” ujarnya.
Beliau turut menyindir dakwaan GRS bahawa pelaksanaan dasar mereka mencapai 94 peratus sebagai “propaganda angka tanpa realiti” memandangkan prestasi sebenar sektor pertanian jauh ketinggalan.
Jelasnya lagi, Sabah memerlukan kerajaan baharu yang berani membina semula sawah di Kota Belud, Beluran, Pitas dan Keningau melalui pendekatan moden, sistem pengairan baharu serta jaminan harga kepada pesawah.
Mohd Fazirul mencadangkan penubuhan Tabung Jaminan Beras Negeri sebagai stok strategik dan dana kecemasan yang diurus secara telus oleh agensi negeri dan koperasi tempatan bagi menjamin bekalan beras Sabah sentiasa mencukupi.
“SSL 22.6 peratus bukan sekadar statistik. Ia adalah jeritan rakyat lapar di bumi yang kaya. Siapa yang gagal menjaga makanan rakyat, tidak wajar lagi diberi peluang memerintah,” tegasnya.
Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar menggunakan peluang dalam Pilihan Raya Negeri akan datang untuk menuntut pertanggungjawaban terhadap kegagalan GRS yang disifatkannya sebagai “kerajaan yang lebih banyak menabur janji daripada menunaikan tanggungjawab”. – UMNO Online
