GRS kerajaan rapuh, hidup dengan alasan – Suhaimi Nasir

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyifatkan kenyataan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang mempertahankan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak lebih daripada suara seorang ‘politikus kitar semula’ yang cuba menutup kelemahan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Suhaimi, hujah yang dikemukakan oleh Nizam tidak membawa sebarang nilai kepimpinan berkaliber, sebaliknya hanyalah propaganda basi mempertahankan kerajaan yang semakin hilang arah.

“GRS masih menjerit menyalahkan kerajaan lama. Persoalannya, apakah mereka sudah hilang maruah? Bukankah Nizam sendiri dan separuh kepimpinan GRS itu sebahagian daripada kerajaan lama yang kini mereka hina? Inilah politik hipokrasi paling jijik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Suhaimi menegaskan, selepas hampir sepenggal diberi peluang mentadbir, GRS hanya menampilkan kegagalan demi kegagalan.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan pelaburan RM35 bilion yang dibangkitkan Nizam.

“Angka tidak bermakna apa-apa kalau rakyat masih miskin, anak muda menganggur dan harga barang terus menghimpit keluarga. Pembangunan bukan angka di PowerPoint, pembangunan ialah nasi di pinggan rakyat,” tegasnya.

Suhaimi juga merujuk pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada 7 Disember 2024, bahawa 17 projek persekutuan di Sabah berstatus sakit manakala 420 projek lagi masih di peringkat pra pelaksanaan atau belum bermula.

“Jelas tatakelola dan pengurusan GRS gagal total. Bayangkan, 420 projek? Ini bukan Sabah Maju Jaya, ini patut dinamakan Sabah Mundur Jaya,” katanya.

Beliau turut menimbulkan isu integriti yang dikaitkan dengan pentadbiran GRS, termasuk kontroversi skandal lesen mineral, yang menurutnya menambah persepsi negatif terhadap kerajaan.

Menyentuh soal kestabilan, Suhaimi menolak dakwaan GRS sebagai kerajaan stabil, sebaliknya menyifatkannya sebagai ‘kerajaan katak politik rapuh’ yang wujud hanya kerana amalan lompat parti.

“Hajiji selepas 31 tahun dalam kabinet bukan lagi simbol harapan, tetapi beban. Jika beliau wajar berehat, maka seluruh kepimpinan GRS yang hidup dengan alasan basi ini juga patut bersara sekali gus,” katanya.

Suhaimi menegaskan rakyat Sabah berhak menuntut kepimpinan berwawasan, bukan kerajaan yang dipenuhi alasan dan propaganda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *