KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah menegaskan bahawa parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) sememangnya merupakan sebuah gabungan politik yang lahir daripada pengkhianatan mandat rakyat, tegas Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Mohammad Mahat Jumahat.
Katanya, Ketua Penerangan Pemuda GRS, Barhul Sahibu, wajar menilai realiti bahawa setiap video yang tular sebelum ini tidak pernah dinafikan secara jelas oleh individu-individu yang terlibat.
“Pergerakan Pemuda UMNO Sabah berhak bersuara kerana isu salah laku barisan menteri GRS menjejaskan integriti pentadbiran negeri. Mengaitkan kes Datuk Seri Bung Moktar Radin pula hanyalah cubaan murahan untuk mengalihkan perhatian rakyat.
“Kami tidak pernah menyerang peribadi mana-mana pemimpin GRS. Sebaliknya, Pemuda UMNO Sabah tampil sebagai suara rakyat untuk membongkar salah laku dan skandal rasuah yang membabitkan barisan kabinet mereka, termasuk kes pengurusan mineral Sabah yang kini dalam perhatian umum serta mahkamah.
“Pergerakan Pemuda UMNO Sabah akan terus berpegang kepada integriti, menegur demi rakyat, serta menolak budaya khianat dan rasuah yang membelenggu pentadbiran GRS,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Penampang menambah, sikap berdiam diri hanya akan menghakis keyakinan rakyat terhadap kabinet GRS yang diketahui gagal mentadbir negeri dengan baik.
“Keadaan ini menconteng arang pada maruah rakyat Sabah seluruhnya. Bung Moktar berani menghadapi proses mahkamah tanpa membabitkan rakyat atau ahli parti. Itu bukti jiwa seorang pemimpin yang menghormati undang-undang – sangat berbeza dengan GRS yang memilih berdiam diri, menyalahkan pihak lain, dan gagal membersihkan nama mereka,” ujarnya lagi.
Tambah beliau lagi, fakta sejarah Pilihan Raya Negeri (PRN) ke -16 jelas menunjukkan GRS tidak pernah memenangi satu pun kerusi yang dipertandingkan. “Tetapi hari ini berkuasa hasil budaya lompat parti serta amalan politik tidak sihat. Maka, tidak hairanlah apabila terbongkar video skandal rasuah, ia hanyalah bayangan tamak haloba yang sejak awal sudah berakar dalam kepimpinan mereka,” jelasnya.
Untuk makluman, pada 7 September 2023 Mahkamah Tinggi telah membebaskan dan melepaskan Discharged And Acquitted (DNA) Bung Moktar serta isterinya daripada semua tuduhan kerana tiada asas kukuh, sebelum keputusan itu dibuka semula di Mahkamah Rayuan untuk beliau membela diri. – UMNO Online
