Oleh: Musli Oli
Hasil kaji selidik terbaharu oleh syarikat penyelidikan Vodus yang dilaporkan menunjukkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang mendahului sokongan pengundi dengan 25 peratus sebenarnya lebih banyak menimbulkan persoalan daripada memberikan jawapan.
Pertama sekali, kita perlu tanya: berapa besar saiz sampel kajian ini? Hanya 536 responden. Sabah mempunyai lebih 1.7 juta pengundi berdaftar, tersebar di 73 kawasan DUN dengan kepelbagaian etnik, geografi bandar-pedalaman, dan kelas sosial.
Adakah 536 responden itu cukup untuk melukiskan gambaran sebenar? Secara teori statistik mungkin boleh, tetapi praktikalnya ia langsung tidak meyakinkan. Ia seolah-olah cuba menyamakan denyut nadi satu wilayah besar dengan hanya beberapa ratus suara.
Kemudian, soal dapatan yang meletakkan GRS sebagai peneraju dengan 25 peratus berbanding BN (13 peratus), PH (10 peratus) dan Warisan (9 peratus). Apa yang lebih ketara sebenarnya ialah 32 peratus pengundi mengaku masih belum membuat keputusan. Ini bermakna kumpulan atas pagar lebih besar daripada mana-mana blok sokongan sedia ada. Jadi, adakah adil untuk mengangkat GRS sebagai “paling popular” apabila realitinya lebih ramai yang belum pasti daripada mereka yang sudah berpihak?
Naratif ini tampak lebih cenderung untuk membentuk persepsi bahawa GRS mendahului, bukannya hasil analisis yang benar-benar kukuh. Bahagian isu pula menonjolkan ekonomi (54 peratus), kos sara hidup (47 peratus), kesihatan (41 peratus) dan pekerjaan (41 peratus) sebagai keutamaan pengundi. Ini sememangnya konsisten dengan kegelisahan rakyat, tetapi kelemahan kajian ialah ia tidak menghubungkan isu itu dengan persepsi pengundi terhadap kemampuan parti-parti politik. Kalau ekonomi menjadi kebimbangan utama, parti mana yang dianggap boleh selesaikan masalah itu?
Kajian tidak menjawab soalan penting ini. Ia berhenti sekadar menyenaraikan kebimbangan rakyat tanpa mengaitkan dengan siapa yang berpotensi mengatasi masalah tersebut. Lebih janggal ialah penemuan bahawa isu MA63 dianggap paling kurang penting, kononnya terutama dalam kalangan pengundi muda. Tetapi tafsiran itu cetek.
Pengundi Sabah tidak mengabaikan isu MA63, cuma mereka sudah letih mendengar janji kosong tanpa sebarang hasil nyata. Apabila perjanjian itu tidak memberi kesan langsung pada kehidupan harian — harga barang tetap tinggi, peluang kerja tetap terhad, kemudahan asas tetap terabai — maka tidak hairan jika ia kelihatan tidak mendesak. Tetapi itu bukan tanda isu MA63 tidak relevan, tetapi bukti bahawa ahli politik gagal menterjemahkan naratif besar kepada manfaat praktikal.
Aspek lain yang turut mencurigakan ialah soal kriteria pemilihan calon. Kononnya 66 peratus pengundi meletakkan integriti, kecekapan dan kebolehpercayaan sebagai keutamaan. Kalau benar begitu, mengapa parti-parti yang sarat dengan isu integriti masih menerima sokongan? Realitinya, jawapan responden lebih mencerminkan norma sosial — apa yang mereka rasa “patut” dijawab — berbanding tingkah laku sebenar di bilik mengundi.
Politik Sabah masih banyak dipengaruhi faktor patronage, jaringan keluarga, etnik, malah janji projek segera. Kajian ini gagal menangkap realiti lapangan yang kompleks itu. Lebih mengelirukan, ia meramalkan kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus. Angka ini terlalu optimistik, sedangkan PRN Sabah 2020 hanya mencatat 66.6 peratus. Dengan peningkatan sinisme politik, terutama dalam kalangan belia, sukar membayangkan lonjakan mendadak ke arah 80 peratus melainkan ada gelombang besar yang belum kelihatan. Tanpa penjelasan metodologi yang lebih teliti, ia sekadar anggaran kosong.
Kesimpulannya, kajian Vodus ini tidak lebih daripada satu tinjauan yang memberi gambaran separuh masak. Saiz sampel kecil, dapatan longgar, dan tafsiran yang condong kepada membina persepsi bahawa GRS berada di depan. Hakikatnya, pengundi Sabah masih berpecah, kumpulan atas pagar kekal dominan, dan isu ekonomi akan jadi faktor penentu sebenar. Parti yang mahu menang tidak boleh sekadar menempel pada jenama parti atau slogan besar. Mereka perlu buktikan dengan penyelesaian konkrit terhadap kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kebajikan rakyat. Tanpa itu, angka kajian seperti ini hanyalah kosmetik yang tidak lebih daripada percubaan awal untuk mencorak persepsi, bukan mencerminkan realiti di lapangan.
Sumber: FB Musli Oli
