GRS tidak akan guna dana kerajaan untuk PRN Sabah: Nizam

TAWAU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah terfikir menggunakan dana kerajaan untuk tujuan kempen Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) akan datang.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kempen PRN17 nanti, GRS akan menggunakan seluruh kekuatan jentera parti yang ada ketika ini.

Katanya, GRS tidak akan menggunakan dana kerajaan dan tuduhan itu langsung tidak berasas dan hanyalah rekaan parti-parti lawan untuk menjejaskan imej GRS.

“GRS tidak pernah, atau mana-mana parti dalam gabungan ini, menggunakan dana kerajaan untuk berkempen.

“Segala usaha dan gerak kerja yang dijalankan adalah hasil kerja keras parti serta sokongan padu daripada akar umbi dan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik, semalam.

Beliau turut mengulas mengenai proses pemilihan calon Gagasan Rakyat bagi zon 12 merangkumi Parlimen Tawau dan Kalabakan yang sedang diteliti serta ditapis oleh pucuk pimpinan parti.

“Saya yakin bahawa apabila senarai calon dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi parti yang diketuai Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, kita semua harus memberi sokongan penuh kepada calon yang dipilih demi perjuangan parti.

“Yang penting bukan individu, tetapi kekuatan dan matlamat perjuangan parti untuk terus membawa kemajuan kepada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri hari ini, berdasarkan prestasi dan kesungguhan dalam mentadbir serta membela nasib rakyat Sabah.

Sementara itu, Nizam turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada kepimpinan Gagasan Rakyat Sebatik atas kejayaan menganjurkan persidangan tahunan berkenaan dengan jayanya.

“Saya difahamkan sebanyak 161 cawangan telah berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing dan menghantar perwakilan ke persidangan hari ini,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *